Monday, March 21, 2005

Tok Wan Din al-Fathani

Tok Wan Din al-Fathani - Penyalin karya Syeikh Daud al-Fathani
Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

DUA orang adik beradik beliau telah diperkenalkan dalam Bahagian Agama, Utusan Malaysia, yang terdahulu daripada ini, kedua-duanya ialah: Syeikh `Abdul Qadir al-Fathani @ Tok Bendang Daya II dan Syeikh Abdul Lathif al-Fathani. Yang sulung di antara mereka ialah Tok Wan Din, nama yang sebenar ialah Syeikh Wan Muhammad Zainal Abidin al-Fathani, kemudian disingkat dengan Syeikh Muhammad Zain saja. Lahir dalam tahun 1233 Hijrah/1817 Masehi di Kampung Sena Janjar, Patani. Ulama dan tokoh ini selain mendapat pendidikan dari orang tuanya Syeikh Haji Wan Mustafa al-Fathani (Tok Bendang Daya I), seterusnya Tok Wan Din mendapat pendidikan langsung dari ulama besar yang terkenal, iaitu Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani di Mekah. Setelah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani wafat, Tok Wan Din al-Fathani mengikuti pengajian-pengajian yang dijalankan oleh Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki dan Sayid Ahmad bin Zaini Dahlan yang kedua-duanya ulama bangsa Arab yang sebaya umur dengan beliau.

AKTIVITI

Aktiviti sepanjang hayatnya ialah mengajar di Pondok Sena Janjar dan Pondok Bendang Daya kemudian mengajar pula di Mekah. Tok Wan Din al-Fathani merupakan orang pertama mengambil inisiatif menganjurkan penyalinan kitab-kitab Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani secara besar-besaran dan teratur. Selain aktiviti di Mekah, beliau mengasaskan Dewan Tok Bendang Daya di Pondok Bendang Daya. Di Dewan Tok Bendang Daya itulah dikumpulkan pelbagai kitab dan sekali gus dilakukan pekerjaan penyalinan pelbagai kitab. Penyalinan selain dilakukan sendiri juga dilakukan oleh beberapa orang muridnya yang dapat dipercayai keilmuannya. Di antara yang terbanyak membuat salinan pelbagai kitab ialah Haji Muhammad Husein bin Abdul Lathif Kelaba Beris al-Fathani (Tok Kelaba).

Salah sebuah khazanah penting yang membicarakan Melayu dan Islam hasil usaha Tok Wan Din al-Fathani ialah salinan Tarikh Patani. Karya tersebut adalah susunan Syeikh Faqih Ali bin Wan Muhammad bin Safiuddin. Naskhah yang asli sudah tidak dapat dikesan lagi. Yang dapat dikesan hanyalah karya tersebut pernah disalin oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dalam tahun 1228 Hijrah/1813 Masehi. Salinan oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani juga tidak dijumpai lagi. Naskhah yang ada sekarang hanyalah dua buah salinan Tok Wan Din al-Fathani yang beliau salin dari salinan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Dua buah naskhah salinan Tok Wan Din al-Fathani ialah: Sebuah pernah dimiliki oleh Dr. Sya'rani Madakakul (berasal dari Menara, Patani). Setelah beliau menyalinnya, naskhah salinan Tok Wan Din al-Fathani musnah, kerana tanpa disedarinya naskhah itu dibakar oleh salah seorang anaknya. Yang sebuah lagi adalah koleksi penulis. Dari naskhah yang saya miliki dan dibanding dengan salinan Dr. Sya'rani Madakakul itulah Tarikh Patani oleh Syeikh Faqih Ali al-Fathani versi salinan Tok Wan Din al-Fathani telah diperbanyak berupa transliterasi dari tulisan Melayu/Jawi kepada tulisan Latin/ Rumi.

Selain salinan Tarikh Patani karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani yang pernah beliau salin ialah Manhalus Shafi fi Bayani Ramzi Ahlis Shufi. Manhalus Shafi termasuk kitab Melayu/Jawi tentang tasawuf yang banyak ditemui salinannya, tetapi kebanyakan salinan tidak terdapat nama Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani sebagai pengarangnya. Walau bagaimanapun salinan Tok Wan Din al-Fathani adalah karangan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Karangan ulama-ulama yang berasal dari Aceh juga tidak luput dari perhatian Tok Wan Din al-Fathani. Di antara kitab karangan ulama Aceh yang pernah beliau salin ialah Bidayatul Hidayah karangan Syeikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin al-Asyi. Kitab ini juga sangat banyak ditemui salinan, namun yang ditashhih oleh Syeikh Ahmad al-Fathani untuk dicetak ialah berasal dari salinan Tok Wan Din al-Fathani (ayah kepada Syeikh Ahmad al-Fathani). Bidayatul Hidayah yang sudah ditashhih oleh Syeikh Ahmad al-Fathani itulah yang beredar berupa cetakan sejak tahun 1303 Hijrah hingga sekarang 1426 Hijrah/2005 Masehi. Bidayatul Hidayah yang tersebut ialah ilmu akidah yang tertua yang masih berada di pasaran kitab (selesai ditulis tahun 1170 H). Ada pun kitab akidah yang lebih awal atau pun yang berdekatan tahun selesai penulisan dengannya sudah tidak diterbitkan lagi. Perlu juga saya sentuh di sini bahawa Syeikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin Aceh itu menurut keterangan ibu saya Hajah Wan Zainab bin Syeikh Ahmad al-Fathani masih ada pertalian kekeluargaan dengan Syeikh Muhammad Zain al-Fathani (Tok Wan Din al-Fathani). Kedua-duanya serupa nama bukanlah satu kebetulan tetapi ada riwayat yang tersendiri. Selain karya salinan, Tok Wan Din al-Fathani juga meninggalkan beberapa buah karangan sendiri di antaranya sebuah bahasan perkara haji dan sebuah lagi membicarakan Thariqat Syathariyah.

KETURUNAN DAN MURID

Tok Wan Din al-Fathani berkahwin dengan Hajah Wan Cik binti Wan Muhammad Saleh al-Fathani bin Abdul Lathif al-Fathani salah seorang keturunan Syeikh Safiuddin al-Abbasi (Tok Raja Faqih). Tok Raja Faqih inilah yang diriwayatkan mengIslamkan Raja Antira, iaitu Raja Patani. Dari riwayat ini bererti, Tok Wan Din al-Fathani berbiras dengan Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan al-Kalantani, kerana adik Hajah Wan Cik bernama Hajah Wan Aisyah kahwin dengan ulama yang berasal dari Kelantan itu. Perkahwinan Tok Wan Din al-Fathani dengan Hajah Wan Cik memperoleh anak bernama Syeikh Wan Ahmad al-Fathani. Syeikh Ahmad al-Fathani memperoleh beberapa orang anak, tetapi yang meninggalkan keturunan hanya tiga orang saja. Anak beliau yang pertama ialah Qadhi Haji Wan Ismail al-Fathani yang pernah diperkenalkan dalam Bahagian Agama, Utusan Malaysia, terbitan Isnin, 31 Ogos 2004. Hingga artikel ini saya tulis masih ramai keturunan Tok Wan Din al-Fathani yang bergerak dalam kepentingan Islam, masih ada yang menjadi ulama.

Murid Tok Wan Din al-Fathani yang menjadi ulama dan tokoh yang terkenal yang dapat dikesan juga ramai, sebagai contoh dalam artikel ini saya sebut beberapa orang di antara mereka, ialah: Pertama; Datuk Abdullah bin Musa (1279 Hijrah/1863 Masehi - 1325 Hijrah/1907 Masehi). Datuk Abdullah bin Musa pernah menjadi Mufti dan Hakim Besar Kerajaan Johor (1889-1907 M). Murid Tok Wan Din al-Fathani yang kedua, ialah Haji Ismail bin Mustafa al-Fathani atau lebih dikenali dengan Cik Doi Kedah (Cik Dol). Beliau inilah yang mengasas Pondok Gajah Mati, Pendang, Kedah yang pondok tersebut kemudian diserahkan kepada menantu beliau Syeikh Wan Ibrahim/Pak Cu Him (anak saudara Tok Wan Din al-Fathani). Salah seorang anak Cik Doi Kedah (Cik Dol) yang sangat terkenal ialah Tuan Guru Haji Husein Cik Dui. Pusat pendidikan beliau ialah Pondok Guar Cempedak, Kedah. Murid Tok Wan Din al-Fathani yang ketiga, ialah Haji Muhammad Husein bin Abdul Lathif al-Fathani/Tok Kelaba (1280 Hijrah/1863 Masehi - l367 Hijrah/1948 Masehi). Beliau ini menghasilkan beberapa buah karya. Salah seorang murid beliau yang berasal dari Terengganu ialah Tuan Guru Haji Abdul Hamid bin Fadhlullah (tok kepada Datuk Idris Yusuf, Menteri Besar, Terengganu sekarang). Murid Tok Wan Din al-Fathani yang keempat, ialah Qadhi Haji Muhammad Sa'id Umar Kedah, pengarang Tafsir Nur al-Ihsan. Ulama yang berasal dari Kedah ini dimuat dalam Bahagian Agama, Utusan Malaysia, hari Isnin, 13 Disember 2004. Murid Tok Wan Din al-Fathani yang kelima, ialah adik beliau yang bongsu, bernama Syeikh Daud bin Syeikh Haji Wan Mustafa al-Fathani atau lebih dikenali dengan nama Tok Cik Wan Daud al-Fathani. Beliau ini termasuk ulama besar Mekah pada zamannya, sangat ramai ulama dunia Melayu adalah murid beliau. Ulama-ulama Mekah yang bukan bermazhab Syafie seumpama Syeikh Ali al-Maliki dalam membicarakan fiqh Syafie selalu merujuk kepada Tok Cik Wan Daud al-Fathani.

100 TAHUN KEWAFATAN

Beliau wafat seminggu setelah kewafatan anak beliau, iaitu Syeikh Ahmad al-Fathani. Syeikh Ahmad al-Fathani wafat pada 11 Zulhijjah 1325 Hijrah/14 Januari 1908 Masehi. Tok Wan Din wafat pada 18 Zulhijjah 1325 Hijrah/21 Januari 1908 Masehi. Secara kebetulan sekurang-kurangnya ada 4 orang keluarga ini wafat pada bulan Zulhijjah. Yang dua orang lagi ialah Tok Bendang Daya II wafat pada hari Ahad, 16 Zulhijjah 1312 Hijrah/10 Jun 1895 Masehi dan yang bongsu Syeikh Daud bin Mustafa al-Fathani (Tok Cik Wan Daud) di Mekah pada hari Selasa, 23 Zulhijjah 1354 Hijrah/17 Mac 1936 Masehi). Beliau ini juga seorang ulama besar di Mekah pada zamannya. Oleh sebab Tok Wan Din al-Fathani dan anak beliau Syeikh Ahmad al-Fathani sama-sama wafat pada bulan Zulhijjah 1325 Hijrah maka pada bulan Zulhijjah 1425 Hijrah yang baru berlalu genap 100 tahun.

Syeikh Ahmad al-Fathani adalah seorang tokoh pemikir yang besar, sama ada peringkat dunia Melayu atau pun antarabangsa, maka akan diadakan pelbagai bentuk peringatan 100 tahun kewafatan beliau. Pemikiran lengkap pelbagai aspek dapat dalam 3 jilid buku berjudul, Syeikh Ahmad al-Fathani Pemikir Agung Melayu dan Islam. Buku tersebut diterbitkan oleh Khazanah Fathaniyah, dan Persatuan Pengkajian Khazanah Klasik Nusantara yang akan dilancarkan pada tarikh 5 Mac 2005 dalam ``Wacana Syeikh Ahmad Al-Fathani Pemikir Agung Melayu Dan Islam'' di Wisma Sejarah, Persatuan Sejarah Malaysia. Wacana ini adalah anjuran bersama Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) dan Persatuan Pengkajian Khazanah Klasik Nusantara (PENGKAJI). Selanjutnya pihak PENGKAJI akan bergerak aktif dalam peringatan ``100 Tahun Kewafatan Syeikh Ahmad Al-Fathani Pemikir Agung Melayu Dan Islam'' yang akan dilaksanakan sepanjang tahun 1426 Hijrah/2005 Masehi di beberapa tempat serta bekerja sama dengan pelbagai pihak. Pada 25 Jun 2005 akan diadakan di Kota Bharu, Kelantan. Manakala pada April 2005 di Mempawah dan Pontianak, Kalimantan Barat. Pada 23 - 25 September 2005 Nadwah Ulama Nusantara III: Ketokohan dan Sumbangan Ulama Tanah Melayu (Sempena Memperingati 100 Tahun Kewafatan Syeikh Ahmad Al-Fathani) Fakulti Pengajian Islam (UKM) akan melaksanakan satu seminar peringkat antarabangsa. Dan lain-lain PENGKAJI sedang menyusun jadual pelaksanaan dan masih menunggu permintaan pihak-pihak yang berminat kepada kegiatan tersebut di atas.

Artikel ini ditutup dengan bait ke-27 puisi Syeikh Ahmad al- Fathani untuk Sultan Zainal Abidin III, Terengganu, terjemahannya:

``Ayuhai segala cerdik pandai !

Hidupkan sejarah bangsa mu !

Dengan itu, kamu akan disebut dalam sejarah dan namamu akan harum sepanjang masa.''

Kiyai Muhammad Saleh Darat

Ulama Besar Jawa Tengah - Kiyai Muhammad Saleh Darat
Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

ADA orang meriwayatkan bahawa tiga orang ulama yang berasal dari Pulau Jawa adalah sangat masyhur, sama ada tentang pencapaian keilmuan, ramai murid menjadi ulama, mahu pun nyata karamah dan barakah. Tiga orang ulama yang bersahabat, yang dimaksudkan ialah Syeikh Muhammad Nawawi al-Bantani @ Imam Nawawi ats-Tsani (lahir 1230 H/1814 M, wafat 1314 H/1896 M), Muhammad Khalil bin Kiyai Abdul Lathif (lahir 1235 H/1820 M) dan Kiyai Haji Saleh Darat yang lahir di Kedung Cemlung, Jepara, tahun 1235 H/1820 M, wafat di Semarang, hari Jumaat, 29 Ramadhan 1321 H/18 Disember 1903 M) ulama yang diriwayatkan ini.
Ketiga-tiga ulama yang berasal dari Jawa itu juga hidup sezaman dan seperguruan di Mekah dengan beberapa ulama yang berasal dari Patani seumpama Syeikh Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani (lahir 1233 H/1817 M, wafat 1325 H/1908 M), Syeikh Abdul Qadir bin Mustafa al-Fathani (lahir 1234 H/1818 M, wafat 1312 H/1895 M) dan lain-lain. Mereka juga seperguruan di Mekah dengan Syeikh Amrullah (datuk kepada Prof. Dr. Hamka) yang berasal dari Minangkabau, Sumatera Barat.
PENDIDIKAN
Ayahnya adalah seorang ulama besar dan pejuang Islam yang pernah bergabung dengan pasukan Pangeran Diponegoro dalam perjuangan jihad melawan penjajah Belanda. Beliau ialah Kiyai Haji Umar. Oleh itu Saleh Darat memperoleh ilmu asas daripada ayahnya sendiri. Sesudah itu beliau belajar kepada Kiyai Haji Syahid, ulama besar di Waturoyo, Pati, Jawa Tengah. Kemudian, dibawa ayahnya ke Semarang untuk belajar kepada beberapa ulama, di antara mereka ialah Kiyai Haji Muhammad Saleh Asnawi Kudus, Kiyai Haji Ishaq Damaran, Kiyai Haji Abu Abdillah Muhammad Hadi Banguni (Mufti Semarang), Kiyai Haji Ahmad Bafaqih Ba'alawi, dan Kiyai Haji Abdul Ghani Bima.
Ayahnya Kiyai Haji Umar sangat berhajat menjadikan anaknya itu seorang ulama yang berpengetahuan sekali gus berpengalaman. Ke arah ilmu pengetahuan telah dilaluinya di pendidikan pengajian pondok. Untuk memperoleh pengalaman pula mestilah melalui pelbagai saluran. Seseorang yang berpengetahuan tanpa pengalaman adalah kaku. Sebaliknya seseorang yang berpengalaman tanpa pengetahuan yang cukup adalah ibarat tumbuh-tumbuhan hidup di tanah yang gersang. Seseorang yang berjaya menghimpunkan pengetahuan dan pengalaman hidup yang demikianlah yang diperlukan oleh masyarakat Islam sepanjang zaman. Oleh hal-hal yang tersebut itu, ayahnya telah mengajak Saleh Darat merantau ke Singapura. Beberapa tahun kemudian, bersama ayahnya, beliau berangkat ke Mekah untuk menunaikan ibadah haji.
Bertawakal
Ayahnya wafat di Mekah. Saleh Darat mengambil keputusan dengan bertawakal kepada Allah untuk tinggal di Mekah kerana mendalami pelbagai ilmu kepada beberapa orang ulama di Mekah pada zaman itu. Di antara gurunya ialah: Syeikh Muhammad al-Muqri, Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki, Sayid Ahmad bin Zaini Dahlan, Syeikh Ahmad Nahrawi, Sayid Muhammad Saleh bin Sayid Abdur Rahman az-Zawawi, Syeikh Zahid, Syeikh Umar asy-Syami, Syeikh Yusuf al-Mishri dan Syeikh Jamal Mufti Hanafi.
Setelah beberapa tahun belajar, di antara gurunya yang tersebut memberi izin beliau mengajar di Mekah sehingga ramai pelajar yang datang dari dunia Melayu menjadi muridnya. Di antara muridnya sewaktu beliau mengajar di Mekah ialah Kiyai Haji Hasyim, Kiyai Haji Bisri Syansuri, dan ramai lagi.
Beberapa ulama yang tersebut itu, iaitu Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki, Sayid Ahmad bin Zaini Dahlan, dan Syeikh Umar asy-Syami adalah ulama-ulama yang mengajar di Masjid al-Haram, Mekah dalam tempoh masa yang sangat lama, sejak ulama yang sebaya dengan Syeikh Nawawi al-Bantani, Kiyai Haji Saleh Darat, Syeikh Muhammad Zain al-Fathani dan lain-lain, hinggalah ulama-ulama peringkat Syeikh Ahmad al-Fathani. Kiyai Saleh Darat sebaya umurnya dengan ayah Syeikh Ahmad al-Fathani, namun sama-sama seperguruan dengan ulama-ulama Arab yang tersebut di atas.
PONDOK PESANTREN
Setelah menetap di Mekah beberapa tahun belajar dan mengajar, Kiyai Saleh Darat terpanggil pulang ke Semarang kerana bertanggungjawab dan ingin berkhidmat terhadap tanah tumpah darah sendiri. `Hubbul wathan minal iman' yang maksudnya, `kasih terhadap tanah air sebahagian daripada iman' itulah yang menyebabkannya mesti pulang ke Semarang. Sebagaimana tradisi ulama dunia Melayu terutama ulama Jawa dan Patani pada zaman itu, bahawa setelah pulang dari Mekah mestilah mengasaskan pusat pengajian pondok. Kiyai Saleh mengasaskan pondok pesantren di daerah Darat yang terletak di pesisir pantai kota Semarang. Sejak itulah beliau dipanggil orang dengan gelaran Kiyai Saleh Darat Semarang.
Terkenal
Dengan mengasaskan pondok pesantren itu nama Kiyai Haji Saleh Darat menjadi lebih terkenal di seluruh Jawa terutama Jawa Tengah. Ramai murid beliau yang menjadi ulama dan tokoh yang terkenal, di antara mereka ialah: Kiyai Haji Hasyim Asy'ari (ulama besar di Jawa, beliau termasuk salah seorang pengasas Nahdhatul Ulama), Kiyai Haji Muhammad Mahfuz at-Tarmasi (seorang ulama besar dalam Mazhab Syafie yang sangat ahli dalam bidang ilmu-ilmu hadis), Kiyai Haji Ahmad Dahlan (pengasas organisasi Muhammadiyah), Kiyai Haji Idris (pengasas Pondok Pesantren Jamsaren, Solo), Kiyai Haji Sya'ban (ulama ahli falak di Semarang) dan Kiyai Haji Dalhar (pengasas Pondok Pesantren Watucongol, Muntilan, Magelang). Raden Ajeng Kartini yang menjadi simbol kebangkitan kaum perempuan Indonesia juga adalah murid Kiyai Saleh Darat.
Tiga orang di antara murid beliau adalah disahkan sebagai Pahlawan Nasional Indonesia, iaitu; Kiyai Haji Ahmad Dahlan (1868 M - 1934 M), dengan Surat Keputusan Pemerintah RI, No. 657, 27 Disember 1961, dianugerahi Gelar Pahlawan Kemerdekaan Nasional. Hadhratusy Syeikh Kiyai Haji Hasyim Asy'ari (1875 M - 1947 M), dengan Surat Keputusan Presiden RI, No. 294, 17 November 1964 dianugerahi Gelar Pahlawan Kemerdekaan Nasional dan Raden Ajeng Kartini (1879 M - 1904 M), dengan Surat Keputusan Presiden RI, No. 108, 12 Mei 1964 dianugerahi Gelar Pahlawan Kemerdekaan Nasional.
Murid Kiyai Haji Saleh Darat yang sangat terkenal di peringkat antarabangsa kerana karangannya menjadi rujukan ialah Kiyai Haji Muhammad Mahfuz at-Tarmasi atau menggunakan nama lengkap Syeikh Muhammad Mahfuz bin Abdullah at-Tarmasi (1285 H/1868 M - 1358 H/1939 M). Dua buah karyanya yang besar dan sangat terkenal dalam bahasa Arab ialah Muhibah Zawin Nazhar syarah Kitab Ba Fadhal merupakan kitab fikah Mazhab Syafie yang ditulis dalam empat jilid tebal. Dan sebuah lagi Manhaj Zawin Nazhar merupakan syarah kitab hadis membicarakan ilmu mushthalah dan lain-lain yang ada hubungan dengan hadis.
PENULISAN
Di antara karangan Kiyai Haji Syeikh Saleh Darat as-Samarani yang telah diketahui adalah seperti berikut:
1. Kitab Majmu'ah asy-Syari'ah al-Kafiyah li al-'Awam, kandungannya membicarakan ilmu-ilmu syariat untuk orang awam
2. Kitab Munjiyat, kandungannya tentang tasawuf, merupakan petikan perkara-perkara yang penting dari kitab Ihya' `Ulum ad-Din karangan Imam al-Ghazali
3. Kitab al-Hikam, kandungannya juga tentang tasawuf, merupakan petikan perkara-perkara yang penting daripada Kitab Hikam karangan Syeikh Ibnu `Athaullah al-Askandari.
4. Kitab Latha'if at-Thaharah, kandungannya membicarakan tentang hukum bersuci
5. Kitab Manasik al-Hajj, kandungannya membicarakan tatacara mengerjakan haji
6. Kitab ash-Shalah, kandungannya membicarakan tatacara mengerjakan sembahyang
7. Tarjamah Sabil al-`Abid `ala Jauharah at-Tauhid, kandungannya membicarakan akidah Ahli Sunnah wal Jamaah, mengikut pegangan Imam Abul Hasan al-Asy`ari dan Imam Abu Manshur al-Maturidi.
8. Mursyid al-Wajiz, kandungannya membicarakan tasawuf atau akhlak.
9. Minhaj al-Atqiya', kandungannya juga membicarakan tasawuf atau akhlak.
10. Kitab Hadis al-Mi'raj, kandungannya membicarakan perjalanan Nabi Muhammad s.a.w. dari Mekah ke Baitul Maqdis dan selanjutnya hingga ke Mustawa menerima perintah sembahyang lima kali sehari semalam. Kitab ini sama kandungannya dengan Kifayah al-Muhtaj karangan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.
11. Kitab Faidhir Rahman, kandungannya merupakan terjemahan dan tafsir al-Quran ke dalam bahasa Jawa. Kitab ini merupakan terjemahan dan tafsir al-Quran yang pertama dalam bahasa Jawa di dunia Melayu. Menurut riwayat, satu naskhah kitab tafsir tersebut pernah dihadiahkan kepada Raden Ajeng Kartini ketika berkahwin dengan R.M. Joyodiningrat (Bupati Rembang).
12. Kitab Asrar as-Shalah, kandungannya membicarakan rahsia-rahsia sembahyang.
Hampir semua karya Kiyai Haji Saleh Darat ditulis dalam bahasa Jawa dan menggunakan huruf Arab (Pegon atau Jawi); hanya sebahagian kecil yang ditulis dalam bahasa Arab. Di tangan saya hanya terdapat sebuah yang ditulis dalam bahasa Melayu. Yang ditulis dalam bahasa Melayu menggunakan nama Syeikh Muhammad Shalih bin Umar as-Samarani. Sebahagian besar kitab-kitab yang tersebut sampai sekarang terus diulang cetak oleh beberapa percetakan milik orang Arab di Surabaya dan Semarang. Ini kerana ia masih banyak diajarkan di beberapa pondok pesantren di pelbagai pelosok Jawa Tengah.
Ada orang berpendapat bahawa orang yang paling berjasa menghidupkan dan menyebarluaskan tulisan Pegon (tulisan Arab bahasa Jawa) ada tiga orang, ialah Syeikh Nawawi al-Bantani, Kiyai Khalil al-Maduri dan Kiyai Haji Saleh Darat Semarang. Pada pandangan saya, Kiyai Haji Saleh Darat adalah yang lebih dapat diakui, kerana apabila kita pelajari karya-karya Syeikh Nawawi al-Bantani semuanya dalam bahasa Arab bukan dalam bahasa Jawa. Kiyai Khalil al-Maduri pula hingga kini saya belum mempunyai karya beliau sama ada dalam bahasa Jawa, atau pun bahasa Melayu mahu pun dalam bahasa Arab.