Monday, November 21, 2005

Ibnu Tufail: Pakar ilmu hukum, perubatan

Oleh Hasliza Hassan

Dunia Islam telah melahirkan ramai ahli falsafah yang hebat tetapi falsafah Islam tetap dianggap sebagai satu kelompok yang hilang dalam sejarah pemikiran manusia.

Maka tidak hairanlah, sejarah lebih mengenali tokoh-tokoh falsafah Yunani dan Barat berbanding ahli falsafah Islam.

Beberapa tokoh falsafah Islam seperti al-Kindi, al-Farabi, dan Ibnu Sina mendapat pengiktirafan Barat, tetapi mereka tidak mendapat tempat sewajarnya berbanding ahli falsafah Yunani seperti Plato dan Aristotle.

Ini mungkin disebabkan kajian mengenai mereka masih belum memadai dan jauh daripada memuaskan sementara karya besar hasil tulisan sarjana serta ilmuwan Islam belum diterjemahkan.

Begitu juga dengan pemikiran falsafah Ibnu Tufail atau nama sebenarnya, Abu Bakr Muhammad ibn Abdul Malik ibn Muhammad ibn Muhammad ibn Tufail al-Qisi yang lahir pada 1106 Masihi di Asya, Granada.

Ibnu Tufail dikenali sebagai ahli hukum, perubatan, dan ahli politik yang handal dan ketika pemerintahan al-Mu'min ibn Ali, beliau dilantik sebagai pembantu Gabenor Wilayah Sabtah dan Tonjah di Maghribi.

Beliau juga pernah menjadi doktor peribadi kepada pemerintah al-Muwahidin, Abu Ya'kub Yusuf dan ketika hayatnya, Ibn Tufail pernah dilantik sebagai menteri selain dikenali sebagai ahli politik yang dihormati oleh pihak pemerintah.

Selain itu, beliau juga membabitkan diri dalam bidang pendidikan, pengadilan, dan penulisan.

Walaupun banyak menulis buku, hanya satu saja kitab yang diwariskan Ibnu Tufail kepada generasi umat Islam iaitu kitab Hay ibn Yaqzan, memuatkan pandangannya secara umum, dengan gaya bahasa menarik dan imaginasi indah.

Buku itu dianggap sebagai warisan paling unik yang ditinggalkan oleh seorang ahli falsafah Islam.

Menerusi bukunya itu, Ibnu Tufail berusaha menerangkan bagaimana manusia mempunyai potensi untuk mengenali Allah dengan membuat penelitian terhadap alam sekitar dan sekelilingnya.

Di dalam buku Hay ibn Yaqzan, Ibn Tufail cuba merangka satu sistem falsafah berdasarkan perkembangan pemikiran yang ada pada diri manusia serta berusaha mengungkap persoalan hubungan antara manusia, akal dan Tuhan.

Untuk itu, beliau telah menggunakan watak Hayibn Yaqzan yang hidup di sebuah pulau di Khatulistiwa sebagai gambaran percampuran empat unsur penting dalam kehidupan iaitu panas, sejuk, kering dan basah dengan tanah.

Watak itu hidup terpencil dan dapat mempertahankan kelangsungan hidupnya dengan pimpinan akal dan bantuan pancaindera.

Langkah Ibnu Tufail menggunakan analog watak itu dalam bukunya dianggap sebagai suatu perkara yang luar biasa dalam penulisan karya yang berbentuk falsafah.

Buku itu juga mengandungi pengamatan Ibnu Tufail mengenai ilmu metafizik, matematik, fizik, dan sebagainya.

Ibnu Tufail melihat alam ini sebagai baru dan ditadbir oleh Tuhan yang satu dan berkuasa penuh sementara dalam diri manusia pula terdapat roh yang menjadi sumber dan asas kehidupan mereka di muka bumi ini.

Falsafah Ibnu Tufail bukan sekadar menyentuh perkara yang berkaitan dengan metafizik tetapi juga sains tabii seperti fizik di mana beliau mendapati lapisan udara yang tinggi lebih sejuk dan nipis daripada lapisan yang rendah.

Hal ini disebabkan kepanasan berlaku di permukaan bumi bukannya di ruang dan lapisan udara.

Meskipun pandangan itu dianggap sebagai satu perkara yang biasa pada hari ini, pandangan ini sebenarnya telah menyediakan landasan kepada ahli sains untuk melakukan kajian terhadap kepanasan dan segala fenomena yang berkaitan dengannya.

Pemikiran falsafah Ibnu Tufail juga meliputi perkara yang berhubung dengan masyarakat apabila beliau menyifatkan masyarakat terdiri daripada sebahagian besar anggota-anggota yang malas.

Lantaran itu, mereka mudah terpengaruh dan terikut-ikut dengan nilai yang sedia ada tanpa mahu membahaskannya.

Ibnu Tufail seorang yang berpegang kepada logik dalam mengungkap realiti alam dan kehidupan manusia.

Barangkali bertitik tolak daripada sikapnya itu, beliau tidak menyepi dan mengasingkan diri seperti mana dilakukan oleh segelintir ahli falsafah lain.

Sebaliknya beliau bergiat dalam hal-hal yang berkaitan dengan kemasyarakatan dan mengambil bahagian secara aktif dalam urusan pemerintahan serta kenegaraan.

Kegiatan ini dilakukannya sehingga beliau menghembuskan nafas terakhir pada 1185 Masihi.


NAMA: Abu Bakr Muhammad ibn Abdul Malik ibn Muhammad ibn Muhammad ibn Tufail al-Qisi

GELARAN: Ibnu Tufail

TARIKH LAHIR: 1106 Masihi

TEMPAT LAHIR: Asya, Granada

MENINGGAL DUNIA: 1185 Masihi

SUMBANGAN: Pemikir yang banyak menghasilkan karya dalam bidang falsafah, sastera, ilmu matematik, astronomi dan ilmu perubatan. [Ilmuwan Islam: Tufail pakar ilmu hukum, perubatan ]

GCISurf - Get Stability, Great Support, Excellent Benefits

Peter F. Drucker: Pemikir besar pengurusan

Oleh: SHAHAROM TM SULAIMAN

Baru-baru ini atau lebih tepatnya pada 11 November, 2005, `dunia' kehilangan seorang pemikir besar pengurusan, Peter F. Drucker yang meninggal dunia dalam usia 95 tahun. Beliau meninggalkan seorang isteri, Doris dan empat orang anak. Media-media antarabangsa seperti The Washington Post, Reuters, The Guardian, Bloomberg, Business Week dan Al-Jazeera semasa melaporkan kematian Peter F. Drucker, menyifatkannya sebagai `tokoh pengurusan yang paling berpengaruh di dunia'. Mahaguru pengurusan ini juga dikenali sebagai management philosopher kerana beliau bukan saja membahas hal-hal pengurusan semata-mata tetapi membahas persoalan pengurusan dalam pengertian yang luas yang mencakupi perubahan-perubahan pemikiran dalam realiti dunia hari ini seperti globalisasi, senario ekonomi dunia, kepimpinan politik.

Karya-karyanya yang melebihi 35 buah buku telah terjual lebih daripada lima juta dan sebahagian besarnya telah diterjemahkan kepada hampir semua bahasa utama dunia. Pandangannya tentang pengurusan, pembangunan kepimpinan dan strategi perniagaan telah mempengaruhi syarikat-syarikat dan gergasi perusahaan bahkan turut mempengaruhi negara seperti Jepun yang mana Drucker pernah menjadi penasihatnya.

Drucker bukan saja seorang profesor pengurusan, lebih dari itu menjadi juruperunding pengurusan lebih daripada 50 tahun kepada 500 organisasi yang mencakupi syarikat-syarikat besar dan kecil, muzium, hospital, universiti, yayasan kebajikan, kerajaan termasuk juga pasukan besbol Yogi Bera di Amerika. Barangkali Drucker merupakan satu fenomena dalam dunia pengurusan.

Drucker merupakan anak kelahiran Austria, pernah bekerja sebagai kerani dan mendapat pendidikan dalam bidang undang-undang dari Universiti Frankfurt pada tahun 1931. Drucker sebetulnya tidak pernah bercita-cita untuk menjadi pakar pengurusan dan cita-cita asalnya hendak menjadi penulis. Beliau mula menulis ketika berumur 20 tahun dan dalam usia yang cukup muda itu, Drucker telah pun memegang jawatan pengarang kanan sebuah akhbar harian di Frankfurt.

Drucker menulis dalam berbagai bidang seperti ekonomi, politik, falsafah, kesusasteraan, undang-undang bahkan buku pertamanya ialah mengenai politik dalam bahasa Jerman setebal 32 halaman bertajuk Friederich Julius Stahl: Conservative Political Theory and Historical Change. Buku ini menimbulkan kemarahan pemerintah Nazi sehingga Drucker terpaksa melarikan diri ke England pada tahun 1933. Di sanalah, Drucker menulis buku pertamanya dalam bahasa Inggeris bertajuk The End of Economic Man (1937) yang membahaskan kegagalan dan kebangkitan fahaman Fasisme. Dalam buku ini juga, Drucker berhujah tentang perlunya susunan sosial dan ekonomi yang baru.

Buku-buku karangan Drucker pada umumnya dapat dibahagikan kepada tiga bidang iaitu sosial dan politik seperti The Age of Discontinuity (1969), Men, Ideas and Politics (1971), Ecological Vision (1993), Germany: The Last Four Years (1937); bidang pengurusan secara khusus pula menyaksikan kelahiran buku-buku seperti Management: Tasks, Responsibilities, Practices (1974), Managing For Results (1964), The Effective Executive (1966), The Frontiers of Management (1986) dan Preparing Tomorrow's Business Leaders Today (1969). Bidang terakhir pula mengenai masyarakat berpengetahuan dan senario masa depan yang terserlah pada buku-buku seperti Technology, Management and Society (1970), Managing for the Future (1990), The New Realities (1989), Managing in a Great Time of Change (1995), The Post Capitalist Society (1993). Di samping itu, Drucker juga menulis autobiografinya melalui buku Adventures of a Bystander (1979).

Tidak kurang pula Drucker menulis dua buah fiksyen iaitu The Temptation to do Good dan The Last of All Possible Words. Kehebatan Drucker menulis buku menyebabkan seorang wartawan pernah bertanyakan kepada tentang buku manakah yang ditulisnya yang dianggap terbaik. Drucker menjawab, ``Whenever people ask me which of my books I considers the best, I smile and say,' The next''. Drucker seterusnya menjawab, sekiranya umur berpanjangan, beliau akan terus menulis. Barangkali Drucker merupakan contoh terbaik bagi seseorang dalam usia sepertinya yang tidak pernah mengenal dunia persaraan dan tidak pernah henti berfikir.

Sebagai seorang pemikir besar, tentu sekali lontaran pemikirannya mendapat liputan meluas dan menarik untuk dikaji khususnya mengenai pelbagai aspek pemikirannya.Buku terawal membahas pemikirannya ditulis oleh John J.Tarrant bertajuk Drucker: The Man Who Invented the Corporate Society (1976) yang membincangkan pengaruh pemikiran Drucker dalam dunia pengurusan khususnya mengenai konsep-konsep yang tidak pernah disentuh oleh tokoh-tokoh pengurusan sebelumnya. Sememangnya Drucker berbeza dengan pemikiran tokoh-tokoh pengurusan terdahulu seperti F.W. Taylor, Henri Fayol, J. Burnham yang lebih berminat membincangkan aspek saintifik dan teknikal dalam pengurusan di samping penekanan yang tinggi terhadap persoalan mendapat keuntungan semata-mata. Lalu dibuat berbagai andaian tentang cara memaksa manusia untuk menjadi produktif. Pemikiran seumpama ini memang dipengaruhi oleh persekitaran Eropah yang mengalami revolusi perusahaan khususnya perusahaan besi keluli yang terpaksa bekerja keras untuk memenuhi kehendak pasaran. Sedangkan Drucker lebih berminat pada persoalan sumber manusia dalam organisasi dan cara-cara untuk membangunkan manusia. Bagi Drucker, sesebuah organisasi wujud kerana adanya manusia dan pengurusan merupakan satu seni untuk memahami manusia.

Tarrant seterusnya membincangkan pandangan Drucker mengenai penggunaan teknologi maklumat dalam pengurusan. Bagi Drucker, komputer amat penting dalam semua hal bahkan cukup membantu dalam memudahkan sebarang urusan. Namun kebimbangan Drucker ialah apabila manusia menjadi hamba kepada komputer. Menurut Drucker, tujuan komputer ialah untuk mengelak kita daripada membuang masa kepada kerja-kerja yang perlu pengawasan dan menumpukan perhatian kepada kerja yang memerlukan pemikiran, imaginasi, persepsi dan kreativiti. Sebaliknya manusia atau pengurus tadi akan menghabiskan masa dengan komputer untuk mencari kerja-kerja lain yang boleh dibuat oleh komputer.

Dalam buku The World According to Peter Drucker (1998) yang ditulis oleh Jack Beatty, seorang wartawan kanan majalah The Atlantic Monthly, cuba memaparkan kajian biografi dan potret keintelektualan Drucker sebagai seorang pemikir besar abad ke-20. Buku ini meninjau penulisan yang meliputi enam dekad karya-karya Drucker mulai tulisan yang mengkritik antifasisme sehinggalah karyanya yang terakhir. Beatty juga membahaskan pemikiran Drucker tentang perubahan masyarakat moden ke titik peralihan masyarakat pascakapitalis. Menurut Drucker, salah satu perubahan asas ialah bahawa tidak ada lagi sejarah ``Barat'' atau ``tamadun Barat'', yang ada ialah sejarah dunia dan tamadun dunia tetapi kedua-duanya telah ``dibaratkan''.

Drucker seterusnya berpendapat bahawa kita sudah cukup maju ke dalam masyarakat pascakapitalis yang baru untuk mengkaji semula dan menyemak sejarah sosial, ekonomi, dan politik zaman kapitalisme dan negara bangsa. Yang pastinya dunia akan muncul daripada penyusunan semua nilai, kepercayaan, struktur sosial dan ekonomi, konsep dan sistem politik yang sedang berlaku sekarang. Dalam beberapa bidang terutamanya dalam masyarakat dan strukturnya, peralihan asas telah pun berlaku. Masyarakat baru ini akan bersifat bukan sosialis dan masyarakat pascakapitalis sudah hampir pasti. Sumber utama masyarakat pascakapitalis ialah pengetahuan atau pekerja ilmu.Ini bermakna bahawa masyarakat itu perlu menjadi masyarakat yang terdiri daripada organisasi. Dalam bidang politik, kita telah beralih daripada negara bangsa berdaulat yang berterusan selama empat ratus tahun kepada kemajmukan yang negara bangsa ialah satu dan bukan satu-satunya unit integrasi politik.

Kemajmukan adalah satu komponen yang penting dalam `tatanegara pascakapitalis'. Dalam sistem ini struktur transnasional, wilayah, negara bangsa termasuk berpuak akan bersaing dan wujud bersama. Masyarakat pascakapitalis pasti menggunakan pasaran bebas sebagai mekanisme untuk melaksanakan integrasi ekonomi. Masyarakat pascakapitalis tidak akan menjadi masyarakat yang ``antikapitalis''. Ia juga bukan ``masyarakat bukan kapitalis'' walaupun institusi kapitalisme akan terus wujud. Kumpulan sosial yang utama dalam masyarakat kapitalis adalah ``para pekerja ilmu'' (Knowledge Workers) yakni para eksekutif berpengetahuan yang tahu cara untuk memperuntukkan pengetahuan kepada penggunaan yang produktif sama seperti golongan kapitalis yang tahu menggunakan modal untuk tujuan produktif. [UM]

GCISurf - Get Stability, Great Support, Excellent Benefits

- *SHAHAROM TM SULAIMAN ialah pensyarah di Fakulti Pengurusan Maklumat, Universiti Teknologi Mara (UiTM).