Friday, May 20, 2005

Raja Ali Haji: Ulama dan Intelektual Melayu

Tokoh ini terkenal sebagai ulama serta sasterawan, juga intelektual Melayu terkemuka pada abad-19. Raja Ali Haji adalah keturunan bangsawan Bugis yang mendiami Pulau Penyengat, tidak jauh dari Tanjung Pinang (Pulau Bintan).

Ayahnya bernama Raja Ahmad. Manakala datuknya bernama Raja Haji, seorang pahlawan Bugis terkenal. Beliau tercatat juga pernah menjawat jawatan sebagai Yamtuan Muda (Yang Dipertuan Muda- setaraf Perdana Menteri) ke-4 dalam Kesultanan Johor-Riau.

Orang-orang Bugis tiba di kawasan tersebut sekitar abad ke-18. Pada ketika itu sedang berlaku perebutan kuasa antara para pewaris Kesultanan Johor setelah terbunuhnya Sultan Mahmud Syah II. Mereka ´bangga´ dengan asal-usul, hubungan kekerabatan dan tetap merasa sebagai golongan masyarakat Melayu-Bugis.

Raja Haji (datuk kepada Raja Ali Haji) adalah Yamtuan Muda yang berjaya menjadikan kesultanan Johor-Riau sebagai pusat dagangan dan budaya paling penting di kawasan itu. Beliau meninggal dunia ketika bertempur melawan Belanda pada tahun 1784. Raja Haji meninggalkan dua orang putera, iaitu Raja Ahmad dan Raja Jaa´far. Raja Ahmad (ayah Raja Ali Haji) adalah pangeran pertama dari Riau yang menunaikan fardu haji.

Beliau sangat menyukai bidang sejarah. Salah satu karyanya "Syair Perang Johor" menghuraikan tentang perang antara Kesultanan Johor dengan Kesultanan Aceh pada abad ke-17. Selain itu, Raja Ahmad juga orang pertama yang menyusun sebuah ´epos´ tentang sejarah orang Bugis di kepulauan Melayu dan hubungannya dengan raja-raja Melayu.

Bakat menulisnya itu turun kepada puteranya, Raja Ali Haji. Sejak masih remaja, Raja Ali sering mengikuti ayahnya mengembara ke beberapa wilayah, termasuk ke Betawi, pelayaran perdagangan serta menunaikan fardu haji ke Tanah Suci. Pengalaman pengembaraan ini secara langsung memberikan wawasan serta pengetahuan yang luas kepada Raja Ali.

Menginjak usia 20 tahun, beliau sudah diberi tanggungjawab melaksanakan tugas-tugas kenegaraan penting. Hingga usianya 32 tahun, Raja Ali bersama sepupunya, Raja Ali bin Raja Jaa´far, diberi kepercayaan memerintah di daerah Lingga, mewakili Sultan Mahmud Muzaffar Syah yang masih berusia muda.

Memang sejak belia Raja Ali Haji dikenal sebagai ulama dan sering fatwanya terhadap sesuatu perkara diminta oleh kerabat kerajaan. Pengetahuannya dalam bidang agama begitu menonjol dan dimanfaatkan bagi membimbing para guru agama di Riau ketika itu. Pada waktu Raja Ali bin Raja Ja´far diangkat menjadi Yamtuan Muda pada tahun 1845, kedudukan Raja Ali Haji juga telah kukuh sebagai penasehat keagamaan negara.

Komitmen dan sumbangannya dalam bidang intelektual dapat ditelusuri daripada terhasilnya beberapa karyanya mengenai masalah agama, sastera, politik, sejarah, filsafat serta undang-undang atau hukum. Beliau memiliki kedudukan yang tinggi di kalangan para sahabatnya meskipunpada waktu itu terdapat ramai para intelektual yang lain.

Di bidang sastera, sebuah karyanya berjudul “Hikayat Abdul Muluk” merupakan karya sasterawan Riau yang pertama kali diterbitkan pada tahun 1846. Sejak itu, banyak karya Raja Ali Haji diterbitkani. Dalam beberapa buah karyanya, beliau selalu menekankan bahawa satu-satunya jalan untuk membendung hawa nafsu dan mencegah terjadinya konflik adalah dengan taat kepada hukum Allah s.w.t yang telah digariskan kitab suci al-Quran.

Selain itu setiap individu harus menjaga nama baik, ilmu dan akalnya. Pada setiap pesan yang disampaikannya, Raja Ali kerap menyisipkan lukisan peristiwa nyata yang terjadi pada zamannya. Raja Ali juga tidak lupa menyoroti akhlak para pemimpin. Menurutnya, seorang raja yang tidak menghiraukan tugasnya dan menderhakai Tuhan tidak dapat diterima sebagai penguasa lagi.

Jawatannya itu harus diserahkan kepada orang lain yang lebih berwibawa. Adapun pemimpin yang baik, hurai Raja Ali, adalah pemimpin yang ´pantang´ melihat kemungkaran. Sebaliknya raja yang buruk pekertinya adalah raja yang bersifatsifat sombong, boros, dan tidak mempedulikan kepentingan pendidikan.

Daripada sedemikian banyak hasil karya Raja Ali Haji, kelihatan tidak pernah meninggalkan ciri khasnya, iaitu mengakar pada tradisi kesusasteraan Islam serta Melayu, juga kesungguhannya dalam menyajikan sejarah masa lalu disesuaikan dengan tuntutan keadaan pada zamannya. Di samping itu, karyanya berjudul “Gurindam Dua Belas” (1847) menjadi karya begitu berharga bahkan paling menonjol di antara karyanya yang lain.

Lewat karya-karyanya, membuktikan bahawa Raja Ali tidka hanya sekadar sejarawan dalam pengertian yang sempit. Beliau juga adalah guru memiliki komitmen memelihara nilai keislaman serta rasa tanggungjawab terhadap masyarakatnya, sehingga bagi menabadikan karya-karyanya, pada awal tahun 1890, seluruh sanak saudaranya mendirikan perkumpulan bernama “Rusdyiah Club” yang bergerak dalam bidang pembinaan ummah serta penerbitan buku bersifat Islami. Raja Ali Haji dimakamkan di Pulau Penyengat yang memiliki nilai sejarah yang tinggi. Di pulau ini terdapat banyak peninggalan Kerajaan Melayu. Ketika pusat kerajan Riau dipindahkan ke Pulau Penyengat pada tahun 1900, di situ telah dibina sebuah istana yang diberi nama Kedaton.

Di kompleks pemakaman Engku Putri Raja Hamida terdapat makam Radja Ali Haji. Makam Raja Ali Haji terletak di luar bangunan utama Makam Engku Putri. Karyanya “Gurindam Dua Belas” diabadikan di sepanjang dinding bangunan makam tersebut. Setiap pengunjung dapat membaca atau mencatat karya besarnya yang luar biasa indahnya itu.

MENIKMATI KEINDAHAN “GURINDAM DUA BELAS”

”Gurindam Dua Belas” merupakan karya besar Raja Ali Haji (1809 -1872). Beliau dikenal sebagai seorang budayawan, dan penulis dengan karya-karya ´beraliran Riau´. Lahir sekitar tahun 1809 di Pulau Penyengat, sebuah pusat keilmuan Melayu-Islam yang penting pada abad ke-19. Beliau meninggal dunia pada usia 63 tahun dan dimakamkan di Pulau Penyengat pada tahun 1872.

Gurindam termasuk dalam bentuk puisi lama yang banyak terdapat dalam masyarakat Melayu. Gurindam yang terkenal ialah “Gurindam Dua Belas” karya Raja Ali Haji. Ini bukan bermaksud gurindam yang berjumlah dua belas buah. Ia adalah gurindam yang mengandungi dua belas fasal yang menyentuh persoalan ibadah, individu, tanggungjawab pemerintah, tanggungjawab anak terhadap ibu bapa, tanggungjawab ibu bapa terhadap anak, sifat-sifat bermasyarakat dan sebagainya.

Gurindam biasanya terdiri daripada sebuah kalimat majmuk yang dibahagi menjadi dua baris. Setiap baris itu merupakan sebuah kalimat dan perhubungan antara kedua-dua kalimat biasanya antara ´anak kalimat´ dengan ´induk kalimat´. Jumlah suku kata setiap baris tidak ditentukan, demikian juga iramanya tidak tetap. Gurindam adalah untuk menyatakan sesuatu yang benar melalui pepatah atau peribahasa.

Raja Ali Haji menerangkan guridam sebagai berikut: "adapun maksud gurindam itu, iaitu perkataan yang bersajak pada akhir pasangannya, tetapi sempurna perkataannya dengan satu pasangannya saja, jadilah seperti sajak yang pertama itu syarat dan sajak yang kedua itu jadi seperti jawab." Beberapa petikan “Gurindam Dua Belas” :

... Barang siapa mengenal Yang Tersebut, tahulah ia makna takut
Barang siapa meninggalkan sembahyang, seperti rumah tiada bertiang
Barang siapa meninggalkan puasa, tidaklah mendapat dua termasa
Barang siapa meninggalkan zakat, tiadalah hartanya beroleh berkat
Barang siapa meninggalkan haji, tiadalah ia menyempurnakan janji ...

Itulah gurindam daripada fasal kedua. Masih ada sebelas fasal yang semuanya penuh berisi pesan bermanfaat bagi semua.(25 November 2004)

Pautan:
Raja Ali Haji Kini Bergelar Pahlawan Nasional

Tuesday, May 17, 2005

Ahmad Nawab: Jatuh bangun bersama muzik


Bersama anugerah dan pencapaiannya dalam bidang muzik selama 40 tahun

TIDAK keterlaluan kalau dikatakan Datuk Ahmad Nawab adalah komposer yang paling banyak sekali menyumbang karyanya dalam bidang seni suara tempatan. Perkara itu dapat dilihat melalui jumlah lagu-lagu yang telah dicipta dan jasanya dalam mendidik ramai penyanyi hingga dikenali ramai. Jamal Abdillah, Datuk Sharifah Aini, Ramlah Ram, Uji Rashid, Hail Amir dan D.J.Dave adalah antara `anak-anak didik' komposer berasal dari Pulau Pinang ini. Bapa kepada enam anak dan empat cucu ini juga merupakan satu-satunya anak seni tempatan yang mendapat pengiktirafan tertinggi iaitu ijazah Kehormat Doktor Persuratan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) pada tahun 2000.

Baru-baru ini Mega sempat berkunjung ke kediaman komposer berusia 60-an ini di Gombak, Selangor untuk berkongsi pendapat dan pengalamannya dalam bidang seni.

Apa aktiviti Datuk selepas lama menyepikan diri?

AHMAD NAWAB: Saya masih aktif berkarya dan antara lagu terbaru ciptaan saya berjudul NAM yang dijadikan lagu tema Mesyuarat Menteri Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) yang berlangsung di Putrajaya baru-baru ini.

Datuk mencipta lagu pada usia 16 tahun. Terlalu muda. Boleh Datuk ceritakan sikit penglibatan pertama Datuk sebagai komposer.

AHMAD NAWAB: Lagu Bintang Malam adalah lagu pertama ciptaan saya. Ketika itu saya baru berusia 16 tahun. Lagu itu pertama kali dinyanyikan oleh Zaharah Agus. Kemudian dinyanyikan semula oleh Saloma dan ia dimuatkan menerusi filem Do Re Mi. Uji Rashid dan Hetty Koes Endang juga pernah menyanyikan semula lagu itu.

Sebagai komposer, apakah kejayaan yang paling tinggi pernah Datuk capai?

AHMAD NAWAB: Pencapaian saya yang paling tinggi ialah apabila lagu ciptaan saya, Malaysia Truly Asia dirakamkan dalam 17 bahasa. Antaranya dalam bahasa Sepanyol, Perancis, Belanda, Jerman, Rusia, Arab, Turki, Itali, Jepun, Korea, Thailand dan Bangladesh. Lagu itu digunakan oleh Kementerian Pelancongan untuk mempromosikan Malaysia di luar negara.

Orang kata bayaran komposer cukup mahal. Datuk sendiri bagaimana? Berapa bayaran terendah pernah Datuk terima?

AHMAD NAWAB: Lagu ciptaan saya yang berjudul Kaulah Harapanku adalah lagu ciptaan saya yang paling murah. Saya dibayar RM5 untuk mencipta lagu itu yang dinyanyikan oleh Saloma.

Pengalaman pahit Datuk sepanjang menjadi anak seni?

AHMAD NAWAB: Pada tahun 1960-an, saya pernah tiga hari tidak makan kerana tidak ada wang. Ketika itu, saya cari makan dengan bermain muzik di kelab-kelab malam dan pendapatan pula tidak menentu.

Album terbitan Datuk yang manakah yang paling mendapat sambutan daripada peminat?

AHMAD NAWAB: Album Kau Kunci Cintaku (Di Dalam Hatimu) nyanyian Ramlah Ram. Album itu saya terbitkan pada tahun 1988 dan ia berjaya dijual 400,000 unit.

Apa komen Datuk tentang komposer-komposer muda hari ini?

AHMAD NAWAB: Pada pendapat saya, ramai komposer sekarang ini yang tidak menyelami terlebih dulu karakter penyanyi yang bakal menyanyikan lagu ciptaannya itu. Seorang komposer itu harus mengambil masa dan mencari kesesuaian di antara lagu dan penyanyi itu sendiri. Jangan setakat mencipta lagu dan menjualnya secara sewenang-wenangnya kepada syarikat rakaman.

Jadi, buat masa ini penyanyi manakah yang paling sesuai untuk menyanyikan lagu-lagu ciptaan Datuk?

AHMAD NAWAB: Siti Nurhaliza. Sebabnya dia sudah membuktikan kepada saya bahawa dia mampu menyanyikan lagu-lagu ciptaan saya dengan baik. Siti misalnya pernah menyanyikan lagu-lagu saya yang berjudul Hapuslah Airmatamu dan Seiring Sejalan pada satu persembahan. Saya sendiri menyaksikan persembahan itu. Saya rasa Siti buat home work sebelum dia menyanyikan sesebuah lagu.

Sepanjang menjadi komposer, berapakah jumlah lagu yang telah Datuk cipta?

AHMAD NAWAB: Setakat ini, saya telah mencipta hampir 2,000 buah lagu dan menerbitkan kira-kira 500 buah album. Saya juga pernah membimbing 75 orang penyanyi. Dua lagu ciptaan saya yang berjudul Ilham Tiba dan Taman Firdausi juga pernah dinyanyikan oleh P. Ramlee.

Bagi Datuk, apakah sumber inspirasi yang terbaik bagi mencetuskan ilham dalam mencipta lagu?

AHMAD NAWAB: Bagi saya, perempuan. Sama ada isteri, kekasih atau ibu, mudah mencetuskan ilham dalam mencipta lagu. Ini kerana, dalam diri mereka ada unsur kelembutan, kecantikan dan sebagainya. Contohnya, sebuah lagu cinta, dihasilkan kerana seseorang itu putus cinta.

Sampai bila Datuk mahu meneruskan karier sebagai komposer?

AHMAD NAWAB: Sebagai anak seni, saya tidak pernah merasa puas dalam mencipta lagu. Saya akan terus mencipta lagu hingga ke akhir hayat saya, insya-Allah.

(UM)