Monday, September 26, 2005

Ibnu Khaldun rintis ilmu sosiologi moden

Oleh Hasliza Hassan

PROFIL
GELARAN: Ibnu Khaldun.
TARIKH LAHIR: 732 Hijrah bersamaan 1332 Masihi.
TEMPAT LAHIR: Tunisia.
MENINGGAL DUNIA: 808 Hijrah bersamaan 1406 Masihi.


IBNU Khaldun mencetus pemikiran baru apabila menyatakan sistem sosial manusia berubah mengikut kemampuannya berfikir, keadaan muka bumi persekitaran mereka, pengaruh iklim, makanan, emosi serta jiwa manusia itu sendiri.

Beliau juga berpendapat institusi masyarakat berkembang mengikut tahapnya dengan tertib bermula dengan tahap primitif, pemilikan, diikuti tahap peradaban dan kemakmuran sebelum tahap kemunduran.

Pandangan Ibnu Khaldun dikagumi tokoh sejarah berketurunan Yahudi, Prof Emeritus Dr Bernerd Lewis yang menyifatkan tokoh ilmuwan itu sebagai ahli sejarah Arab yang hebat pada zaman pertengahan.

Felo Amat Utama Akademik Institut Antarabangsa Pemikiran dan Ketamadunan (Istac), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Muhammad Uthman El-Muhammady pula melihat pendekatan Ibnu Khaldun secara sejagat.

Sumbangan Ibu Khaldun, perintis ilmu sosiologi moden dapat disaksikan melalui siri Ilmuwan Islam di TV3, malam ini.

Episod kali ini yang diterbitkan Mohd Fasil Mohd Idris, bakal membawa penonton mengenali lebih dekat ilmuwan kelahiran Tunisia yang banyak menghasilkan karya untuk rujukan umat Islam dan bangsa lain masa kini.

Dilahirkan di Tunisia, keluarga Ibnu Khaldun sebenarnya berasal dari wilayah Seville, Sepanyol, ketika dalam pemerintahan Islam.

Ketika zaman kanak-kanak, beliau mempelajari al-Quran daripada orang tuanya sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi sambil dibantu sejarawan dan ulama Tunisia serta Sepanyol.

Pada 1375, beliau berhijrah ke Granada, Sepanyol kerana mahu melarikan diri daripada kerajaan di Afrika Utara.

Bagaimanapun, keadaan politik Granada tidak stabil, lantas mendorong beliau untuk merantau ke Aljazair (bahagian utara Semenanjung Tanah Arab). Di sini, beliau tinggal di kampung kecil iaitu Qalat Ibnu Salama.

Di situ juga beliau menghasilkan beberapa karya terkenal termasuk al Ibar Wa Diwan al-Mubtad Wa al-Khabar. Kitab ini mengandungi enam jilid dan paling terkenal, kitab Mukaddimah.

Sehingga kini kitab itu menjadi rujukan umat Islam, khususnya dalam ilmu kajian sosial, politik, falsafah dan sejarah.

Kitab Mukaddimah menghuraikan beberapa peristiwa dalam kehidupan masyarakat, proses pembentukan negara, faktor kemajuan serta kemunduran, selain menerangkan beberapa perkara yang berkaitan bidang perniagaan, perindustrian dan pertanian.

Karya Ibnu Khaldun yang menakjubkan itu membolehkan beliau digelar sebagai Prolegomena atau pengenalan kepada pelbagai ilmu perkembangan kehidupan manusia di kalangan ilmuwan Barat.

Dalam pada itu, Ibnu Khaldun mengutarakan pandangannya bagi memperbaiki kesilapan dalam kehidupan menjadikan karya beliau seumpama ensiklopedia yang mengisahkan pelbagai perkara dalam kehidupan sosial manusia.

Kajian yang dilakukan Ibnu Khaldun bukan hanya mencakupi kisah kehidupan masyarakat ketika itu, malah merangkumi sejarah umat terdahulu.

Selain sebagai ilmuwan dalam bidang sosial, Ibnu Khaldun, mampu mentadbir dengan baik apabila dilantik sebagai kadi ketika menetap di Mesir.

Kebijaksanaannya mendorong Sultan Burquq iaitu Sultan Mesir ketika itu memberi gelaran Waliyuddin kepada Ibnu Khaldun.

Ibnu Khaldun juga memajukan konsep ekonomi, perdagangan, kebebasan dan terkenal kerana hasil kerjanya dalam bidang sosiologi, astronomi, numerologi, kimia serta sejarah.

Beliau membangunkan idea bahawa tugas kerajaan hanya terhad kepada mempertahankan rakyatnya daripada keganasan, melindungi harta persendirian, menghalang penipuan dalam perdagangan dan menguruskan penghasilan wang.

Pemerintah juga melaksanakan kepemimpinan politik bijaksana dengan perpaduan sosial dan kuasa tanpa paksaan.

Dari segi ekonomi, Ibn Khaldun memajukan teori nilai dan hubung kaitnya dengan tenaga buruh, memperkenalkan pembahagian tenaga kerja, menyokong pasaran terbuka, menyedari kesan dinamik permintaan dan bekalan ke atas harga dan keuntungan.

Beliau turut menyokong perdagangan bebas dengan orang asing, dan percaya kepada kebebasan memilih bagi membenarkan rakyat bekerja keras untuk diri mereka sendiri.

Wacana atau pemikiran Ibnu Khaldun turut diterjemah ke dalam kehidupan masyarakat moden yang mahu mengimbangi pembangunan fizikal dan spiritual seperti Malaysia yang sedang menuju status negara maju.

Secara teorinya, ilmu itu dikaitkan dengan soal manusia dalam masyarakat dan ahli sosiologi berharap ilmu berkenan dapat menjalinkan perpaduan serta membentuk penawar kepada krisis moral yang dihadapi masyarakat hari ini.

Istilah sosiologi walaupun dicipta tokoh kelahiran Perancis abad ke-19, Aguste Comte, kajian mengenai kehidupan sosial manusia sudah dihurai oleh Ibnu Khaldun dalam kitabnya Muqaddimah, 500 tahun lebih awal, pada usianya 36 tahun.
[Ilmuwan Islam: Pemikiran Ibnu Khaldun rintis ilmu sosiologi moden]

Saturday, September 24, 2005

Jabir Ibnu Hayyan: Bapa Kimia Dunia




Ilmuan Islam: Bahan penulisan Bapa Kimia Dunia diguna hingga kini


BAPA Ilmu Kimia Dunia, Abu Musa Jabir Ibnu Hayyan, turut menyumbang kepada proses menyediakan pelapisan bahan antiair pada pakaian serta campuran bahan cat dan gris.

Selain itu, beliau mengembangkan teknik peleburan emas dengan menggunakan bahan aqua regia.

Idea eksperimen Jabir sekarang menjadi dasar untuk mengklasifikasikan unsur kimia terutama pada bahan logam, bukan logam, dan penguraian bahan kimia.

Beliau merumuskan tiga bentuk berbeza daripada bahan kimia berdasarkan unsur-unsurnya:

  • Cecair (spirit), yakni yang mempengaruhi pengewapan pada proses pemanasan, seperti pada bahan kapur barus (camphor), arsenik, dan ammonium klorida.

  • Logam, seperti emas, perak, timah, tembaga, besi.

  • Bahan campuran, yang boleh ditukar menjadi serbuk.

    Jabir cukup terkenal kerana hasil penulisan yang melebihi daripada seratus risalah dan diabadikan sehingga kini. Ada 22 risalah yang antaranya berkaitan dengan alkimia (Al-Kimiya daripada bahasa Arab) dan ilmu kimia.

    Beliau yang memperkenalkan model penelitian dengan cara eksperimen di dunia alkimia atau dalam erti kata lain, beliau yang menjana momentum bagi perkembangan ilmu kimia moden.

    Pada abad pertengahan, risalah Jabir dalam bidang ilmu kimia, termasuk kitabnya yang masyhur iaitu Kitab Al-Kimya dan Kitab Al-Sab'een, diterjemahkan ke bahasa Latin.

    Bahkan terjemahan Kitab Al-Kimya diterbitkan oleh orang Inggeris, Robert Chester pada 1444, dengan judul The Book of the Composition of Alchemy.

    Buku kedua, Kitab Al-Sab'een diterjemahkan oleh Gerard dari Cremona sementara Berthelot pula menterjemahkan beberapa buku beliau antaranya dikenali dalam judul Book of Kingdom, Book of the Balances dan Book of Eastern Mercury.

    Pada 1678, seorang berbangsa Inggeris iaitu Richard Russel mengalih bahasakan karya Jabir yang lain dengan judul Sum of Perfection.

    Berbeza dengan pengarang sebelumnya, Richard adalah yang pertama kali menyebut Jabir dengan sebutan Geber dan memuji ilmuwan itu sebagai seorang pendeta Arab dan ahli falsafah.

    Buku Richard kemudiannya menjadi sangat popular di Eropah selama beberapa abad lamanya dan telah memberi impak serta pengaruh besar kepada evolusi ilmu kimia moden.

    Sungguhpun begitu, daripada semua karyanya, hanya sedikit saja yang diterjemah manakala sebahagian besar karyanya masih kekal dalam bahasa Arab.




  • Jabir pelopor bidang kimia gunaan


    KOTA Damsyik yang kini ibu negara Syria turut terkenal dengan peralatan pedang apabila Suyuf ad Damas atau pedang Damsyik pernah disebut dalam kitab Al-Kindi.

    Di Barat, keluli damascus (damascus steel) menjadi lambang mutu peralatan pisau dan pedang yang terbaik pembuatannya di dunia sehingga hari ini, malah senapang lama dua laras buatan tangan masih kekal dengan gelaran laras damascus.

    Warisan seni pertukangan logam di Damsyik melalui proses evolusi yang panjang sebelum tiba ke kemuncak kegemilangannya.

    Kemunculan logam baru bermutu tinggi bertitik tolak dari usaha seorang remaja, Abu Musa Jabir Ibnu Hayyan yang diberi gelaran �Si Geber dari Abad Pertengahan�. Dia turut dikenali �Bapa Ilmu Kimia Dunia�.

    Sejarah dan pencapaian tokoh ilmuwan yang menyinari tamadun Islam dengan penemuannya yang membawa perubahan besar dalam kehidupan manusia ini, akan diceritakan menerusi episod keenam siri Ilmuwan Islam di TV3 malam ini.

    Siri kali ini yang memaparkan perkembangan bidang kimia turut mendapatkan pandangan pakar tempatan iaitu Prof Dr Ibrahim Abu Talib dari Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Dr Azman Jalar (Pusat Pengajian Fizik Gunaan, UKM)

    Kecemerlangan mengasaskan kaedah penyulingan pertama di dunia berjaya menempatkan diri Jabir sebagai ilmuwan terkemuka bidang perubatan dan kimia di Kufah (sekarang Iraq) sekitar 776 Masihi.

    Pada peringkat awal kerjaya, Jabir pernah berguru dengan Barmaki Vizier pada zaman Khalifah Abbassiyah pimpinan Harun Ar-Rasyid. Bagaimanapun, beliau tidak mengambil bulat-bulat ilmu teori yang diajar kepadanya.

    Sebaliknya berusaha sendiri melakukan uji kaji sehingga berjaya menghasilkan proses penyulingan yang disebut taqtir menggunakan peralatan kaca dilengkapi corong panjang yang bertindak sebagai kondenser (alat pengental).

    Penemuan bahan mineral dan asid, yang disiapkan pertama kali dalam penelitian mengenai alembik (Anbique) membuatkan proses penyulingan menjadi lebih mudah.

    Jabir banyak mengabdikan diri melakukan percubaan dan pengembangan kaedah asas ilmu kimia serta kajian terhadap pelbagai mekanisme tindak balas kimia untuk mencapai kemajuan dalam bidang penyelidikan.

    Beliau menegaskan bahawa kuantiti yang tepat daripada bahan kimia saling berhubungan dengan wujudnya tindak balas kimia yang akan berlaku.

    Oleh itu, bolehlah dikatakan bahawa Jabir meletakkan dasar ke atas hukum nisbah tetap.

    Sumbangan paling asas oleh Jabir dalam bidang ilmu kimia termasuk penyempurnaan pendekatan saintifik, seperti pada proses penghabluran, penyulingan, kalsinasi (penukaran logam kepada oksida dengan cara pembakaran), pejalwap dan penyejatan serta pengembangan terhadap beberapa peralatan untuk menjalankan eksperimen itu.

    Beberapa kejayaan dalam bidang kimia ialah dalam penyediaan asid nitrik, hidroklorik, sitrik dan tartarik. Umum tidak mempertikaikan penekanan Jabir dalam bidang eksperimen sistematik ini.

    Kerana itulah, beliau diberi gelaran �Bapa Ilmu Kimia Moden� oleh rakan sejawatnya di seluruh dunia.

    Pemikir Barat, Max Mayerhaff, dalam tulisannya ada menyebut bahawa jika ingin mencari susur galur perkembangan ilmu kimia di Eropah, maka bolehlah dijejaki secara langsung pada karya Jabir Ibnu Haiyan.

    Tegasnya, Jabir adalah seorang pelopor dalam beberapa bidang pengembangan ilmu kimia gunaan.

    Sumbangan beliau termasuk juga dalam pembangunan keluli, penyediaan bahan logam, bahan antikarat, tinta emas, penggunaan bijih mangan dioksida untuk pembuatan kaca, bahan pengering pakaian dan penyamakan kulit.





    Ghazali beri nama Malaysia




    Sembang Sabtu: Ghazali beri nama Malaysia


    SAYA yang ubah nama Persekutuan Tanah Melayu kepada Malaysia, kata bekas Menteri Luar, Tun Mohd Ghazali Shafie, apabila ditanya mengenai sumbangan besarnya kepada negara yang mungkin ramai tidak mengetahui.

    Selepas 42 tahun pembentukan Malaysia ditubuhkan negeri di Semenanjung bergabung dengan Sabah, Sarawak dan Singapura pada 16 September 1963, akhirnya beliau mengakui bertanggungjawab menukar nama negara seperti yang dikenali sekarang.

    Ketika itu, Ghazali adalah seorang daripada empat anggota Suruhanjaya Cobbold di bawah Lord Cobbold yang terbabit secara langsung dalam penubuhan Persekutuan Malaysia. Tiga lagi anggota suruhanjaya itu ialah bekas Speaker Dewan Rakyat, Allahyarham Tun Dr Mohamed Zahir Ismail dan dua wakil British.

    Kini dalam usia 83 tahun, semangat perjuangannya masih kental. Malah, setiap tahun sejak merdeka beliau meraikan peristiwa sejarah itu, Ghazali masih ternanti-nantikan detik 12 malam pada 31 Ogos lalu, seolah-olah itulah kali pertama beliau mengalaminya

    Namun, ketika ditemui baru-baru ini, beliau seolah-olah memendam rasa sayu apabila melihat cara ulang tahun kemerdekaan disambut generasi sekarang.

    “Rasa sakit di sini,” katanya sambil mengarahkan tangannya yang menggeletar ke tengah dada, seolah-olah hatinya tercalar dan sakitnya bukan kepalang.

    “Sambutan kemerdekaan sekarang sudah jauh menyimpang,” katanya.

    Bagi Ghazali sambutan hari pembebasan negara daripada belenggu penjajah itu sudah bertukar menjadi pesta konsert di merata tempat di seluruh negara yang disiarkan secara langsung di televisyen, bukan lagi hari bagi menginsafi perjuangan kemerdekaan.

    Beliau yang dipertanggungjawab merangka Rukun Negara pada 1970 juga menyatakan rasa kesalnya kerana generasi sekarang tidak lagi mengenali ikrar itu, apalagi menghayatinya.

    “Mujurlah TV3 menyiarkan rancangan al-Kuliyyah khas sempena kemerdekaan, boleh juga saya menonton sesuatu kerana yang lainnya hanya konsert,” katanya.

    Beliau yang dipertanggungjawab merangka Rukun Negara pada 1970 juga menyatakan rasa kesalnya kerana generasi sekarang tidak lagi mengenali ikrar itu, apalagi menghayatinya.

    “Kalau semua ikut Rukun Negara, Malaysia hari ini boleh berjalan dengan betul, tidak ada korupsi, tetapi kita tak mahu ikut Rukun Negara, kita lupakan Rukun Negara,” katanya.

    Monday, September 12, 2005

    Al-Idrisi: pencipta glob dunia

    Ilmuwan Islam: Al-Idrisi pencipta glob dunia
    Oleh Hasliza Hassan

    sistem pemetaan hampir tepat menjadi warisan berharga serta rujukan orang awam, khususnya ilmuwan Eropah

    HARI ini lebih 2,000 satelit mengelilingi bumi berfungsi mengumpulkan maklumat sejelas mungkin supaya manusia dapat memahami fizikal bola angkasa yang menjadi kediaman mereka.

    Bagaimanapun, pada kurun ke-12, keadaan sebenar bumi sudah digambarkan tanpa teknologi angkasa oleh ilmuwan Islam, Al-Idrisi atau nama sebenarnya Abu Abdullah, Muhammad bin Abdullah bin Idris Al-Hammudi Al-Hasani Al-Qurtubi.

    Siri Ilmuwan Islam malam ini, terbitan Mohd Fasil Mohd Idris memaparkan gambaran mengenai bumi dan sistem pemetaan Al-Idrisi yang tidak bercanggah dengan ilmu geografi moden.

    Ketokohan beliau diakui ilmuwan masa kini, Prof Madya Mustapha Kamal Idris dari Jabatan Geografi, Fakulti Sains Sosial dan Sastera Universiti Malaya, yang menggunakan perisian Al-Idrisi sebagai perisian utama untuk menghasilkan peta.

    Sementara Prof Dr Achaaban Ahmad, pensyarah Fakulti Sains Sosial, Universiti Hassan II, Casablanca, Maghribi, menerangkan rahsia peta Al-Idrisi yang dilakarkan secara terbalik.

    Al-Idrisi, tokoh ilmuwan dalam bidang geografi yang dilahirkan di persisiran pantai Sabtah di utara Maghribi pada 493 Hijrah bersamaan 1099 Masihi banyak menimba pengetahuan di Cordoba, Andulisia.

    Beliau banyak menitikberatkan ilmu geografi secara khusus membolehkannya menghasilkan penemuan baru dalam bidang itu dan menjadi ilmuwan Islam terawal menghasilkan peta dunia.

    Keistimewaan lukisan peta dunia yang dihasilkan Al-Idrisi menggunakan kaedah ilmiah tidak banyak bezanya dengan peta dunia yang ada sekarang.

    Beliau begitu gemar mengembara dan antara negara yang pernah dilawati ialah negara di Eropah, Asia Kecil selain mengharungi Laut Tengah.

    Kecintaannya terhadap dunia pengembaraan menjadikan beliau seorang yang terkenal dalam ilmu geografi.

    Ketika mengembara, Al-Idrisi tidak lupa membuat catatan mengenai tumbuh-tumbuhan yang ditemui di negara yang dilawatinya.

    Selain itu, beliau mencatatkan mengenai kegunaan tanaman berkenaan sebagai ubat-ubatan yang boleh menyembuhkan pelbagai penyakit.

    Beliau turut menterjemahkan nama ubat-ubatan itu ke dalam enam bahasa lain iaitu Sysiac, Greek, Parsi, Hindi, Latin dan Berber.

    Al-Idrisi juga diingati kerana kejayaannya membuat glob besar yang melakarkan garisan bulat dan peta dunia di atasnya.

    Beliau juga menentukan sempadan laut di kawasan Khatulistiwa yang tidak dapat ditentukan oleh ulama ketika zamannya.

    Selain itu, Al-Idrisi mengukur garis pusat bumi dan berjaya mendapat keputusannya, iaitu 22,900 batu bersamaan 42,185 kilometer.

    Ini tidak banyak berbeza dengan ukuran garis pusat yang sebenar, iaitu 40,068 kilometer.

    Ketika singgah di Sicily, beliau menjadi tetamu raja negara itu, Roger II, yang kemudian menitahkannya membuat glob lakaran peta dunia daripada perak.

    Al-Idrisi kemudian mengarahkan jurulukis dan jurupahat yang sangat pandai melukis benua, negara, lautan, sungai dan jalannya.

    Akhirnya glob dunia itu menjadi satu warisan sangat berharga dan rujukan orang awam, khususnya ilmuwan Eropah mengenai pandangan mereka berhubung dunia.

    Peta itu berjaya membantu mereka dalam pelbagai pengembaraan dan memudahkan pengembara mencari tempat baru di dunia.

    Peta itu juga dilengkapkan dengan ukuran panjang dan lebar yang tepat sesebuah kawasan.

    Al-Idrisi juga mengarang banyak buku antaranya Nuzhah Al-Musytaq Fi Ikhtiraq Al-Afaq, yang dikarang atas permintaan Raja Sicily, Roger II.

    Dalam buku itu, Al-Idrisi memasukkan semua maklumat yang ditemukan oleh ilmuwan sebelumnya dan menambah pengetahuan yang diperoleh daripada pengembaraannya ke seluruh pelusuk dunia.

    Buku yang mengandungi lebih 70 jenis peta menjadi sumber rujukan penting bagi ilmuwan Eropah selama tiga abad.

    Sementara satu lagi hasil karya beliau bertajuk Rawdhah Al-Uns Fi Nuzhah Al-Nafs dan Al-Mamalik Wa Al-Masalik yang turut diterjemahkan ke dalam bahasa Latin menjadi panduan kepada pengembara.

    Buku itu dilengkapi maklumat dan sifat sesebuah negara, tumbuh tumbuhan, haiwan, manusia, ekonomi serta tabiat mereka.

    Semua buku yang dihasilkan Al-Syarif Al-Idrisi terutama mengenai ilmu geografi popular di kalangan ilmuwan Timur dan Barat hingga ke hari ini.

    Persoalannya, Eropah dan Barat mengambil berat terhadap sumber ini dan menterjemahkan dalam bahasa mereka tetapi apakah yang kita lakukan sebagai umat Islam. Sekadar membiarkan sumber itu tanpa usaha mengumpul atau menyusunnya.