Tuesday, March 18, 2008

Keluarbiasaan Helen Keller

HELEN ADAMS adalah orang buta pertama yang berjaya menamatkan pengajian di kolej.

Helen sentiasa diingati dalam sejarah sebagai seorang wanita yang luar biasa kerana mampu meraih kejayaan seperti manusia normal.

DI sebuah pekan kecil di selatan Tuscumbia, Alabama, salah satu 'keajaiban dunia' telah berlaku di sana. Ia bermula pada satu hari yang cerah dalam musim bunga pada tahun 1887.

Gumpalan awan putih indah menghiasi langit yang kebiruan dan kelihatan burung-burung berterbangan sambil hinggap di pokok-pokok oak dan mapel.

Bunga-bunga pelbagai warna pula berguguran ke tanah sekali gus menghiasi kawasan sekitarnya. Namun kesemua itu tidak dapat dilihat dan didengari oleh seorang gadis manis yang berusia tujuh tahun.

Berdiri di sebelah gadis bernama Helen Adams Keller yang buta dan pekak sepenuhnya itu, adalah seorang wanita muda, Anne Mansfield Sullivan.

Sullivan kemudian mengambil air sejuk dan diletakkan ke dalam salah satu tangan gadis tersebut sambil berulang-ulang menyebut kod abjad mengandungi lima huruf secara perlahan-lahan.

Keadaan itu berterusan di mana Helen dengan cermat dan teliti berusaha untuk memecahkan dunianya yang penuh kesunyian.

Tiba-tiba, satu isyarat melintas di dalam kepala Helen yang menyedari bahawa ia membawa satu makna. Dia kemudian mengetahui bahawa ejaan 'w-a-t-e-r' yang disebut oleh Sullivan ialah sesuatu yang sejuk yang mengalir di tangannya.

'Kegelapan' mula cair di fikirannya seperti ais pada bulan Mac yang penuh cerah itu. Menjelang senja, Helen telah pun mempelajari 30 perkataan.

Sejak itu bermulalah dunia baru Helen yang mahu membuktikan keupayaan dirinya meskipun dia buta dan cacat.

Bagi sesiapa yang tidak mengenali Helen, dia merupakan seorang penulis, aktivis dan pensyarah yang terkenal di Amerika Syarikat (AS). Helen juga adalah orang buta pertama yang berjaya menamatkan pengajian di kolej.



Dia sentiasa diingati dalam sejarah sebagai seorang wanita buta dan pekak yang luar biasa kerana mampu meraih kejayaan seperti manusia normal.

Helen kemudian telah mendedikasikan seluruh kehidupannya untuk memperbaiki keadaan orang buta dan pekak di seluruh dunia dengan menyampaikan syarahan berbentuk motivasi.

Di mana sahaja dia muncul, Helen berjaya membawa keberanian dan semangat baru kepada jutaan orang buta di seluruh dunia.

Gurunya, Sullivan pula dikenang sebagai Miracle Worker kerana semangatnya dan usahanya.

Menyelusuri lembaran kehidupan wanita ikonik ini, Helen dilahirkan sebagai seorang kanak-kanak yang comel dan sihat pada tanggal 27 Jun 1880 di sebuah pekan kecil di Tuscumbia, Alabama.

Helen merupakan anak kepada Kapten Arthur H. Keller, bekas pegawai Confederate Army dan pasangannya, Kate Adams Keller, sepupu kepada Robert E. Lee dan anak perempuan Charles W. Adams, bekas jeneral Confederate.

Bagaimanapun, derita Helen bermula ketika dia berusia 19 bulan selepas diserang pelbagai penyakit sehingga menyebabkan bayi comel tersebut buta dan pekak sepenuhnya.

Pada usia enam tahun, Helen dibawa berjumpa Dr. Alexander Graham Bell oleh kedua ibu bapanya. Disebabkan lawatan itu, Helen kemudian bertemu dengan Sullivan pada 3 Mac 1887.

Sullivan sejak itu mula mendampingi Helen setelah menyedari gadis kecil tersebut mempunyai keistimewaan tersendiri.

Bertindak sebagai guru kepada Helen, Sullivan ternyata berjaya dalam tugasannya.

Menjelang bulan Ogos, iaitu dalam masa enam bulan, Helen telah dapat mempelajari dan mengetahui 625 perkataan.

FOTO kenangan Sullivan (kanan) sewaktu mengajar Helen ketika usianya 8 tahun.


Pada tahun 1888 Helen menghadiri kelas Royal Institue For the Blind. Enam tahun kemudian, Helen dan Sullivan berhijrah ke New York bagi meneruskan persekolahan di Wright-Humason School for the Deaf dan Horace Mann School for the Deaf.

Pada tahun 1896 pula, mereka kembali ke Massachusetts dan Helen memasuki The Cambridge School for Young Ladies sebelum diterima melanjutkan pengajian di Radcliffe College pada tahun 1900.

Pada usia 24 tahun, Helen berjaya menamatkan pengajiannya dari Radcliffe College pada 1904 sekali gus menjadi orang buta dan pekak pertama meraih ijazah dalam jurusan Bachelor of Arts.

Selepas menamatkan pengajiannya, Helen mula menjadi penceramah dan mengembara di seluruh dunia bersama Sullivan bagi memberi syarahan dan membantu golongan pekak serta buta keluar daripada kepompong permasalahan mereka.

Selain itu, Helen turut menjadi penulis dan menerbitkan sebuah buku autobiografi bertajuk The Story of My Life.

Secara keseluruhan, Helen telah menulis 12 buah buku sepanjang hayatnya. Antaranya bertajuk The World I Live In (1908), Out of the Dark (1913), My Religion (1927) dan Light in My Darkness.

Mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai wanita berjaya, Helen menubuhkan Helen Keller International, sebuah pertubuhan untuk melindungi golongan buta pada tahun 1915.

Sementara pada tahun 1920, dia membantu menubuhkan American Civil Liberties Union (ACLU).

Bagaimanapun pada tahun 1961, Helen mengalami beberapa siri serangan strok dan ini menyebabkan dia terpaksa menghabiskan masa di rumahnya untuk berehat dan menerima rawatan.

Sebagai menghargai jasa-jasanya, pada 14 September 1964 Presiden Lyndon B. Johnson telah menganugerahkan Helen, pingat Presidential Medal of Freedom, salah satu pengiktirafan tertinggi AS terhadap orang awam.

Pada 1965 pula, Helen dipilih sebagai Women's Hall of Fame di New York World's Fair. Helen telah mengabdikan seluruh kehidupannya untuk mencari dana bagi American Foundation for The Blind.

Setelah mengharungi kehidupan di dunia dengan penuh sabar dan tabah, Helen akhirnya meninggal dunia sewaktu dalam tidur pada 1 Jun 1968 di Arcan Ridge berhampiran Westport, Connecticut.

Helen dikebumikan di National Cathedral di Washington bersebelahan makam guru dan teman sejatinya, Sullivan. - Agensi

Sumber: Kosmo! untuk tujuan dokumentasi. Tokoh dikelola oleh Syafrein Effendiuz yang juga editor Majalah.Dompas.net, Dompas Network, ArticleCentral dan Artikel Sentral. Dia juga mengelola beberapa blog: Catatan Sekilas, Perkahwinan, Akhbar & Majalah, Usahawan Maya, Cyber Ilmu, Riau, Banners to click!, My Biz Online, dan lain-lain.