Sunday, February 20, 2005

Pangeran Charles: Tragedi sebuah cinta

Tragedi sebuah cinta

JIKA anda seorang lelaki Malaysia, berusia 56 tahun, kaya, segak, bertenaga dan tidak beristeri, mahukah anda berkahwin dengan seorang janda berusia 57 tahun?
Awang yakin tidak. Di negara kita, jika lelaki yang sudah meningkat usia ingin berkahwin buat kali ke berapa sekali pun, dia tidak akan memilih wanita 57 tahun.
Bagi seorang lelaki yang sudah tidak muda lagi, memiliki isteri muda adalah suatu pencapaian, malah, satu kebanggaan. Dia akan jadi bahan ketawa jika mengambil seorang yang sudah berusia 57 tahun sebagai isteri, biarpun sebagai isteri keempat.
Sebab itu kita semua kena menghormati bagaimana Putera Charles mengabdikan cintanya kepada kekasih lamanya Camilla Parker Bowles yang bukan sahaja sudah berusia 57 tahun, tapi seorang janda beranak dua. Bagi Awang, inilah cinta sejati.
Ramai bertanya apa yang ada pada Camilla yang membuat Charles masih tergila-gilakannya walaupun dia sudah berusia 57 tahun. Pujangga sudah pun menjawabnya: Cinta itu buta; kecantikan terletak pada mata yang memandang. Sudah pasti mereka yang tertanya-tanya itu tidak nampak apa yang Charles nampak.
Andainya paras rupa adalah segala-galanya dalam memilih teman hidup, sudah tentu ramai daripada kita tidak akan dapat berkahwin, termasuklah Camilla. Tapi Camilla yang dianggap tidak cantik itu bukan sahaja pernah berkahwin, tapi akan berkahwin lagi. Dan kali ini dengan bakal raja.
Percintaan di antara Putera Charles dengan Camilla berputik pada tahun 1970. Ini bermakna cinta itu sudah berusia 35 tahun. Ini bermakna semasa mereka jatuh hati, Charles baru berusia 21 tahun manakala Camilla 22 - memang usia untuk jatuh cinta dan tergila-gila dengannya. Tapi selepas 35 tahun masih tergila-gila? Inilah kehebatan cinta mereka.
Sesungguhnya, menebalkan cinta bersama peningkatan usia merupakan satu seni yang tidak ada pada semua. Di Malaysia, amat jarang pasangan berusia 50-an berpegangan tangan bila berjalan. Atau, mungkin kerana ini bukan budaya kita?
Kini, Charles berusia 56 tahun manakala Camilla 57. Sejak bercerai dengan Puteri Diana, Charles hidup seorang diri dalam erti kata tidak berkahwin semula. Mungkin ada yang akan berkata ini kerana dia mempunyai Camilla di sisinya, sentiasa. Mungkin akan ada yang berkata dia mempunyai ramai teman wanita lain.
Selepas bercerai dengan Diana, Charles boleh memilih sesiapa sahaja untuk menjadi isterinya. Yang Awang kagumi dan kita semua patut kagum ialah kesetiaan cinta Charles terhadap Camilla yang sudah berusia 57 tahun itu. Dan Camilla pula bukanlah wanita cantik yang menjadi idaman seorang anak raja.
Bahawa Charles memilih untuk mengahwini Camilla yang dicintainya sejak 35 tahun itu adalah suatu yang luar biasa. Ini patut kita hormati.
Kegagalan Charles dan Camilla mendirikan rumah tangga pada masa itu dikatakan berpunca daripada campur tangan istana dalam cinta mereka. Istana Buckingham (atau lebih tepat Queen Elizabeth II, bonda Charles) tidak merestui hubungan mereka. Maka mereka tidak dapat berkahwin.
Apa yang kita sedang saksikan hari ini adalah sebuah kisah cinta yang biasanya terjalin dalam cerita dongeng purba kala seperti kisah anak miskin berkahwin dengan raja.
Awang percaya, jika boleh, Queen Elizabeth masih tidak mahu membenarkan Charles mengahwini Camilla. Masih menjadi tanda tanya sama ada Charles dapat menaiki takhta, suatu hari nanti. Bondanya juga melarang Charles daripada mengadakan kenduri besar-besaran. Baginda dilaporkan meradang dengan anaknya yang enggan mengadakan kenduri itu di istana.
Sebenarnya, apa yang berlaku di Istana Buckingham itu sama sahaja seperti apa yang biasa berlaku di kampung dalam masyarakat Malaysia bila ibu bapa hendak menentukan dengan siapa anak-anak mereka patut berkahwin. Dalam banyak masyarakat dunia perkahwinan yang diatur oleh keluarga masih satu kelaziman. Di negara kita perkahwinan suka sama suka sudah menjadi lumrah.
Ada yang tidak berkahwin atau berkahwin lewat kerana pilihan mereka tidak direstui ibu bapa. Cinta terpaksa ditolak tepi demi menjaga hati ibu bapa. Tapi ada juga yang tidak mempedulikan semua itu. Perkahwinan tidak direstui ini pun boleh kekal hingga ke akhir hayat. Perkahwinan yang diatur oleh keluarga juga belum tentu akan elok semuanya. Hakikatnya, risiko perkahwinan sama sahaja.
Perkahwinan Charles dengan Diana digambarkan bagai perkahwinan yang terbina di syurga - tiada cacat barang sedikit pun. Tiada apa yang tidak kena. Semuanya indah, penuh dengan kewangian. Diana keturunan bangsawan, cantik, menawan. Tapi akhirnya rumah tangga mereka hancur juga dan Charles kembali ke pangkuan seorang wanita yang sudah lanjut usia untuk mencari kasih sayang.
Begitulah halnya dengan perkahwinan dan kasih sayang; begitulah halnya dengan campur tangan ibu bapa; dan begitulah halnya bila manusia mengabdikan diri kepada cinta sejati. Charles dan Camilla telah membuktikan cinta lebih sering tidak mengikut hukum alam - tiada rasional. Maka tiada apa yang hendak dihairankan bila yang gemuk dan yang hitam menjadi rebutan; bila yang kurang berada dan yang cacat hidup lebih bahagia.
Sesungguhnya, perkahwinan dan perceraian serta masalah rumah tangga di kalangan keluarga diraja, rakyat biasa, yang miskin dan yang kaya, sama sahaja.
Kesimpulannya, kekayaan, kesenangan hidup serta kedudukan bukan jaminan kepada kebahagiaan hidup berumah tangga.
Apakah Charles, Diana dan Camilla mangsa kekayaan, kesenangan hidup dan kedudukan? Atau, mereka sekadar menjadi mangsa sebuah tragedi - tragedi cinta?

Charles hargai kesetiaan

Oleh WAN NORAZAH WAN CHIK

CAMILLA Parker Bowles ketika ini mungkin sedang gelisah menghitung hari. Penantian penuh kesabaran sejak tiga dekad lalu bakal berakhir dengan satu lagi catatan sejarah untuk keluarga diraja Britain.
Rakyat biasa yang bergelar janda anak dua berusia 57 tahun itu akan mendampingi bakal pemerintah sistem monarki tertua di Eropah apabila `kewujudan' beliau kini diakui dan diterima oleh pihak istana.
Sebagai wanita yang telah menghambakan cinta kepada lelaki pujaan sejak pertemuan pertama pada tahun 1970 lalu, tarikh 8 April ini merupakan detik paling bahagia untuknya.
Mungkin bagi orang lain, usia akhir 50-an sudah dianggap menghampiri senja namun kepada pasangan Camilla dan Putera Charles, usia tersebut adalah kemuncak kepada jalinan kasih mereka.
Biar terlewat asal mereka pernah mengecap kebahagiaan itu dan bakal menyimpul ikatan cinta suci pada tarikh bersejarah tersebut.
Walaupun berita pertunangan mereka disambut dengan perasaan berbelah bahagi oleh pelbagai pihak, kedua-dua pasangan yang sedang asyik bercinta itu tidak perlu mempedulikan semua itu.
Kebahagiaan adalah milik mereka. Siapa orang lain untuk campur tangan? Apatah lagi ikatan cinta mereka sudah direstui Ratu Elizabeth II dan Putera Philip, ayahanda Charles yang memegang gelaran Duke of Edinburgh.
Malah cincin pusaka yang pernah dipakai oleh mendiang bonda Ratu iaitu nenda kepada Charles, kini tersarung di jari Camilla. Ia merupakan isyarat bahawa pihak istana tidak lagi menghalang hubungan Charles-Camilla.
Camilla, akan diberi gelaran rasmi Her Royal Highness The Duchess of Cornwall selepas perkahwinannya dengan Charles, 56.
Bagaimanapun, apabila Charles menaiki takhta, Camilla tidak akan diberi gelaran Permaisuri sebaliknya hanya digelar Princess Consort. Bekas isteri Charles, Puteri Diana dikenali secara rasmi sebagai Puteri Wales.
Bagaimanapun sudah pasti bagi Camilla bukan gelaran itu yang dikejar olehnya. Apa yang penting beliau boleh hidup bersama Charles dan tidak lagi perlu menyembunyikan hubungan mereka.
Hubungannya dengan Charles yang mula terjalin selepas perkenalan pertama pada 1970 menjadi semakin intim selepas kematian Diana pada tahun 1997.
Walaupun Diana pernah menuduh Camilla sebagai punca utama perceraian beliau dan Charles, bakal pewaris takhta Britain itu membela wanita berkenaan dan menyatakan bahawa dia memilih Camilla kerana wanita itu sangat memahaminya.
Keadaan itu mungkin tidak pernah dikecapi oleh Charles sewaktu hidup bersama Diana, wanita cantik yang memberi dua anak lelaki kacak, William dan Harry sebagai waris Charles.
Penangan cinta pertama mungkin terlalu sukar untuk dikikis oleh Charles. Apatah lagi beliau sendiri mengakui Camilla memenuhi ciri-ciri yang diperlukan olehnya iaitu sesuatu yang tiada pada Diana.
Mungkin bagi lelaki lain, kecantikan dan kelembutan yang dimiliki Diana sudah mencukupi tetapi Charles memerlukan seorang isteri dan teman bicara untuk berkongsi masalah. Kriteria itu berjaya dipenuhi oleh Camilla.
Berdasarkan kedudukannya sebagai pewaris takhta, Charles boleh memilih gadis muda yang lebih cantik, malah melebihi Diana.
Namun beliau telah menemui ciri-ciri tersebut di dalam diri Camilla, lama sebelum perkahwinannya dengan Diana pada tahun 1981 lalu.
Ternyata Charles bukannya seorang lelaki yang mahu mencari wanita cantik untuk ditonjolkan kepada umum, beliau mahu seorang isteri untuk dirinya sendiri walaupun wanita itu tidak diterima oleh orang lain.
Hakikatnya cinta sejati itu telah ditemui di dalam diri Camilla dan Charles bersedia untuk menerima apa sahaja kritikan rakyat terhadap isteri barunya itu.
Rakyat Britain sebenarnya masih terpesona dengan imej baik Diana yang ditonjolkan oleh Puteri itu selama hayatnya. Kelembutan Diana telah berjaya mengelabui mata sebahagian rakyat Britain.
Kelembutan Diana juga membuatkan mereka boleh menerima berita mengenai kecurangan Diana dan sebaliknya menuding jari kepada Charles yang kononnya mengheret Diana berlaku curang.
Ketika Charles didakwa curang dan menjalin hubungan dengan Camilla, Diana sendiri mempunyai koleksi kekasih gelap beliau sehingga kesahihan Charles sebagai bapa Harry juga turut dipertikaikan orang.
Adakah patut seorang isteri bertindak membalas kecurangan suami dengan seorang wanita lain menerusi koleksi kekasih gelap seperti yang dilakukan Diana?
Tetapi Diana sibuk mengatur barisan kekasih termasuk kekasih yang paling hebat menjadi tajuk media di Britain iaitu John Hewitt, lelaki yang turut didakwa sebagai bapa kepada Harry.
Hubungan Diana-Hewitt dijalin sewaktu Puteri itu masih bergelar isteri kepada Charles dan pertemuan mereka diatur sewaktu Charles berada `di luar daerah'.
Bekas ketua pelayan istana Diana, Paul Burrell di dalam buku bertajuk A Royal Duty mendakwa Puteri itu mempunyai sembilan orang kekasih rahsia yang kesemuanya berakhir di tempat tidur Diana.
Barisan kekasih Diana terdiri daripada pemenang hadiah Oscar, legenda sukan, ahli muzik, ahli politik, peguam, pelabur dan ahli perniagaan.
Burrell mengaku bahawa beliau sendiri yang `menyeludup' kekasih-kekasih Diana untuk keluar masuk ke istana.
Hubungan cinta Diana dimulakan dengan pengawal istana, Barry Mannakee sebelum Puteri itu jatuh ke pangkuan Hewitt selepas kematian Mannakee akibat kemalangan jalan raya.
Selepas Hewitt, Diana didakwa menjalin hubungan dengan Oliver Hoare, seorang pengedar lukisan sebelum berpaling pada pakar bedah jantung, Dr. Hasnat Khan.
Kekecewaan bersama Hasnat telah menyebabkan beliau mencari cinta sejati daripada Dodi Al-Fayed dan akhirnya kedua-dua menemui ajal dalam nahas di Paris pada tahun 1997.
Sekurang-kurangnya Charles tidak mempunyai senarai kekasih lain kerana beliau hanya setia kepada Camilla.
Bagaimanapun hakikat itu enggan diterima oleh peminat taksub Diana. Bagi mereka Puteri itu seperti legenda. Suci dan menakjubkan mereka.
Biarlah Charles dan Camilla meniti hari-hari mereka dengan penuh kebahagiaan tanpa diganggu-gugat oleh pelbagai spekulasi yang disebarkan oleh mereka yang tidak puas hati terhadap Camilla.
Relakanlah mereka menghabiskan sisa-sisa hidup seperti pengakhiran cerita dongeng yang biasanya ditamatkan dengan ungkapan, `dan akhirnya mereka hidup bahagia selama-lamanya'.

No comments: