Tuesday, May 17, 2005

Ahmad Nawab: Jatuh bangun bersama muzik


Bersama anugerah dan pencapaiannya dalam bidang muzik selama 40 tahun

TIDAK keterlaluan kalau dikatakan Datuk Ahmad Nawab adalah komposer yang paling banyak sekali menyumbang karyanya dalam bidang seni suara tempatan. Perkara itu dapat dilihat melalui jumlah lagu-lagu yang telah dicipta dan jasanya dalam mendidik ramai penyanyi hingga dikenali ramai. Jamal Abdillah, Datuk Sharifah Aini, Ramlah Ram, Uji Rashid, Hail Amir dan D.J.Dave adalah antara `anak-anak didik' komposer berasal dari Pulau Pinang ini. Bapa kepada enam anak dan empat cucu ini juga merupakan satu-satunya anak seni tempatan yang mendapat pengiktirafan tertinggi iaitu ijazah Kehormat Doktor Persuratan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) pada tahun 2000.

Baru-baru ini Mega sempat berkunjung ke kediaman komposer berusia 60-an ini di Gombak, Selangor untuk berkongsi pendapat dan pengalamannya dalam bidang seni.

Apa aktiviti Datuk selepas lama menyepikan diri?

AHMAD NAWAB: Saya masih aktif berkarya dan antara lagu terbaru ciptaan saya berjudul NAM yang dijadikan lagu tema Mesyuarat Menteri Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) yang berlangsung di Putrajaya baru-baru ini.

Datuk mencipta lagu pada usia 16 tahun. Terlalu muda. Boleh Datuk ceritakan sikit penglibatan pertama Datuk sebagai komposer.

AHMAD NAWAB: Lagu Bintang Malam adalah lagu pertama ciptaan saya. Ketika itu saya baru berusia 16 tahun. Lagu itu pertama kali dinyanyikan oleh Zaharah Agus. Kemudian dinyanyikan semula oleh Saloma dan ia dimuatkan menerusi filem Do Re Mi. Uji Rashid dan Hetty Koes Endang juga pernah menyanyikan semula lagu itu.

Sebagai komposer, apakah kejayaan yang paling tinggi pernah Datuk capai?

AHMAD NAWAB: Pencapaian saya yang paling tinggi ialah apabila lagu ciptaan saya, Malaysia Truly Asia dirakamkan dalam 17 bahasa. Antaranya dalam bahasa Sepanyol, Perancis, Belanda, Jerman, Rusia, Arab, Turki, Itali, Jepun, Korea, Thailand dan Bangladesh. Lagu itu digunakan oleh Kementerian Pelancongan untuk mempromosikan Malaysia di luar negara.

Orang kata bayaran komposer cukup mahal. Datuk sendiri bagaimana? Berapa bayaran terendah pernah Datuk terima?

AHMAD NAWAB: Lagu ciptaan saya yang berjudul Kaulah Harapanku adalah lagu ciptaan saya yang paling murah. Saya dibayar RM5 untuk mencipta lagu itu yang dinyanyikan oleh Saloma.

Pengalaman pahit Datuk sepanjang menjadi anak seni?

AHMAD NAWAB: Pada tahun 1960-an, saya pernah tiga hari tidak makan kerana tidak ada wang. Ketika itu, saya cari makan dengan bermain muzik di kelab-kelab malam dan pendapatan pula tidak menentu.

Album terbitan Datuk yang manakah yang paling mendapat sambutan daripada peminat?

AHMAD NAWAB: Album Kau Kunci Cintaku (Di Dalam Hatimu) nyanyian Ramlah Ram. Album itu saya terbitkan pada tahun 1988 dan ia berjaya dijual 400,000 unit.

Apa komen Datuk tentang komposer-komposer muda hari ini?

AHMAD NAWAB: Pada pendapat saya, ramai komposer sekarang ini yang tidak menyelami terlebih dulu karakter penyanyi yang bakal menyanyikan lagu ciptaannya itu. Seorang komposer itu harus mengambil masa dan mencari kesesuaian di antara lagu dan penyanyi itu sendiri. Jangan setakat mencipta lagu dan menjualnya secara sewenang-wenangnya kepada syarikat rakaman.

Jadi, buat masa ini penyanyi manakah yang paling sesuai untuk menyanyikan lagu-lagu ciptaan Datuk?

AHMAD NAWAB: Siti Nurhaliza. Sebabnya dia sudah membuktikan kepada saya bahawa dia mampu menyanyikan lagu-lagu ciptaan saya dengan baik. Siti misalnya pernah menyanyikan lagu-lagu saya yang berjudul Hapuslah Airmatamu dan Seiring Sejalan pada satu persembahan. Saya sendiri menyaksikan persembahan itu. Saya rasa Siti buat home work sebelum dia menyanyikan sesebuah lagu.

Sepanjang menjadi komposer, berapakah jumlah lagu yang telah Datuk cipta?

AHMAD NAWAB: Setakat ini, saya telah mencipta hampir 2,000 buah lagu dan menerbitkan kira-kira 500 buah album. Saya juga pernah membimbing 75 orang penyanyi. Dua lagu ciptaan saya yang berjudul Ilham Tiba dan Taman Firdausi juga pernah dinyanyikan oleh P. Ramlee.

Bagi Datuk, apakah sumber inspirasi yang terbaik bagi mencetuskan ilham dalam mencipta lagu?

AHMAD NAWAB: Bagi saya, perempuan. Sama ada isteri, kekasih atau ibu, mudah mencetuskan ilham dalam mencipta lagu. Ini kerana, dalam diri mereka ada unsur kelembutan, kecantikan dan sebagainya. Contohnya, sebuah lagu cinta, dihasilkan kerana seseorang itu putus cinta.

Sampai bila Datuk mahu meneruskan karier sebagai komposer?

AHMAD NAWAB: Sebagai anak seni, saya tidak pernah merasa puas dalam mencipta lagu. Saya akan terus mencipta lagu hingga ke akhir hayat saya, insya-Allah.

(UM)

No comments: