Monday, October 10, 2005

Mimar Sinan: jurutera pencahayaan, akustik kubah di Turki

Oleh Hasliza Hassan
Bina lebih 360 struktur binaan kerohanian, prasarana awam

MIMAR Sinan mengatasi seni bina zaman pembaharuan Barat menerusi pembinaan kubahnya, membentuk teknik pencahayaan semula jadi dan menghasilkan sistem akustik dalam bangunan tanpa alat pembesar suara.

Arkitek diraja Uthmaniyah itu mengalahkan arkitek Itali yang hanya mampu membangunkan beberapa kubah besar di gereja, sedangkan beliau membina ratusan kubah di masjid sekitar Turki.

Siri Ilmuwan Islam di TV3 malam ini, akan memaparkan kubah yang dibina Mimar Sinan, tokoh yang terkenal melalui perubahan diperkenalkan dari sudut teknologi seni bina terutama membabitkan aspek pencahayaan dan akustik.

Arkitek termasyhur pada zaman Uthmaniyah itu dilahirkan pada 1489 di Anatolia dan sepanjang kariernya, beliau sudah membina beratus bangunan antaranya masjid, madrasah, hamam (tempat mandi awam), hospital, istana dan pancuran air.

Bagaimanapun, masjid adalah binaannya paling masyhur dan seni bina kubah beliau yang mempunyai pengaruh Rom dan Byzantine menjadi ikutan dalam pembinaan masjid hari ini.

Menurut tradisi kesultanan Uthmaniyyah, setiap sultan yang memerintah mempunyai masjid yang dibina atas namanya sendiri sebagai lambang komitmen mereka terhadap perjuangan Islam.

Suleymaniyye, Sulayman dan Sinan adalah tiga nama gemilang pada zaman Uthmaniyah. Suleymaniyye adalah kompleks masjid yang mengambil sempena nama Sultan Suleyman yang mengarahkan Sinan membina masjid berkenaan.

Masjid itu menjadi contoh teknik akustik dalam bangunan yang dikembangkan oleh Sinan dan ia siap dibina lebih 300 tahun sebelum alat pembesar suara pertama dicipta.

Sinan membawa pengaruh itu kepada masjidnya dengan perspektif dan fungsi yang berbeza melalui kubah besar dan kecil yang dibina sebagai penyalun suara - walaupun tanpa pembesar suara, jemaah dapat mendengar apa yang disampaikan imam.

Kubah besar di Masjid Suleymaniyye terletak pada ketinggian 48 meter, lebih 46 meter di puncaknya dengan ukur lilit selebar 26 meter kaki berfungsi sebagai penyalun suara.

Sementara 27 kubah kecilnya berfungsi menyerap pantulan suara yang tinggi seterusnya memantulkan kembali suara itu ke dalam ruang masjid dan pantulan itu berlaku serentak, seimbang dan tidak bergema.

Sistem akustik itu dapat mengelak jemaah daripada hilang tumpuan kepada imam ketika solat dan meningkatkan khusyuk mereka beribadah.

Beban kubah utama yang dibina arkitek Eropah terletak pada dinding bangunan, sementara beban kubah utama dibina Sinan diletakkan pada lengkungan berbentuk separuh kubah serta tiang-tiang yang menyokongnya.

Teknik yang diguna Sinan memudahkannya membuat tingkap kecil di sekeliling kubah bagi membolehkan cahaya memasuki masjid.

Beliau menambah tingkap pada dinding masjid bagi membenarkan lebih banyak cahaya menerangi ruang dalamnya.

Sistem pencahayaan semula jadi Sinan pada kubah masjid memberi suasana selesa kepada jemaah menerusi kepelbagaian warna kaca pada tingkapnya.

Sinan bukan sekadar membina, malah memikirkan sistem bagi keselesaan pengunjung Masjid Suleymaniyye melakukan ibadat, selain menjadikan masjid sebagai pusat utama kepada rangkaian binaan lain.

Contohnya, pembinaan Masjid Suleymaniyye bukan binaan tunggal, sebaliknya Sinan membangunkan sebuah kompleks kombinasi beberapa bangunan dengan fungsi berbeza, tetapi berhubung dengan struktur meganya yang utama iaitu masjid.

Ini adalah kaedah perancangan bandar dalam seni bina Islam yang dipertahankan oleh Sinan pada zamannya ketika era seni bina Renaissance berkembang pesat dengan struktur berbeza.

Umumnya, Sinan meletakkan kedudukan masjid sebagai pusat kegiatan pendidikan, kebudayaan, perniagaan, kebajikan dan pembinaan rohani.

Kebolehan Sinan sebagai seorang arkitek menyerlah apabila beliau terpilih menganggotai ‘janissary’ iaitu pasukan tentera elit kerajaan Uthmaniyah.

Beliau telah menunjukkan bakatnya sebagai seorang arkitek dan jurutera dalam pasukan itu.

Sejak itu, Sinan mula membangunkan pelbagai binaan prasarana seperti jambatan di Buyukcekmece, merentasi teluk berhampiran Laut Marmara yang mengambil masa setahun untuk disiapkan selepas mendapat arahan Sultan Suleyman.

Beliau turut membina Caravanserai sebagai tempat persinggahan pedagang dan haiwan tunggangan serta tujuh ‘akueduk’ atau saliran air untuk kemudahan penduduk Istanbul ketika itu.

Sepanjang hampir 50 tahun berkhidmat, Sinan mendirikan lebih 360 struktur binaan sama ada seni bina bersifat kerohanian, prasarana awam dan ketenteraan. [Ilmuwan Islam: Sinan jurutera pencahayaan, akustik kubah di Turki]

No comments: