Sunday, December 20, 2009

Yusuf al-Qaradawi


Tokoh Maal Hijrah

Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah (dua dari kiri) berkenan melihat pingat anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan bagi tahun 1431 Hijrah yang diperoleh Pengerusi Kumpulan FELDA, Tan Sri Dr. Mohamed Yusof Mohamed Noor (kanan) selepas menyampaikan anugerah itu pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1431 Hijrah di Dewan Plenari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Kuala Lumpur, semalam.

Pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradawi (kiri) juga merupakan penerima anugerah itu. Turut kelihatan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom.

Kedua-dua tokoh itu menerima hadiah wang tunai RM100,000 termasuk RM10,000 sumbangan Yayasan Ubaidi, sebuah plak, pingat dan sijil penghargaan. – BERNAMA

Yusuf al-Qaradawi ulama kontemporari abad ini

Oleh Mohd Rumaizuddin Ghazali




YUSUF al-Qaradawi adalah ulama, pemikir, sarjana dan intelek kontemporari pada abad ini. Dilahirkan di Mahallah al-Kubra negeri Gharbiah, Mesir pada 1926. Sejak kecil, pemikir ini menunjukkan ciri ulama apabila menghafal al-Quran sejak kecil dan sering dipanggil menjadi imam dan menyampaikan syarahan agama di masjid kampungnya.

Selepas tamat Maahad Tanta, beliau melanjutkan pelajaran di Universiti al-Azhar sehingga ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam fiqh al-Zakat pada 1973. Al-Qaradawi terpengaruh dengan pemikiran Imam al-Ghazali, Ibn Taimiyyah dan Ibn Qayyim. Dalam kebanyakan penulisannya, al-Qaradawi sering mengambil pendapat tiga tokoh berkenaan.

Ketika awal kehidupannya, beliau begitu mengagumi Imam al-Ghazali dan kitab `al-Ihya` adalah buku pertama yang dibaca. Kemudian beliau membaca buku Ibn Taimiyyah dan Ibn Qayyim, walaupun mengagumi kedua-dua tokoh itu, ia tidak menghalang beliau untuk berbeza pendapat sesetengah isu.

Al-Qaradawi terkenal dengan keperibadian sederhana dan sentiasa menyeru kepada kesederhanaan dalam segala aspek. Manhaj (kaedah) beliau adalah kemudahan dalam memberi fatwa, memberi khabar gembira dalam berdakwah, tegas dalam persoalan pokok dan mudah dalam perkara cabang.

Beliau menyebutkan faedah yang diperoleh apabila terbabit dalam aktiviti dan pergerakan dakwah iaitu pergerakan dakwah memperluaskan cakerawala fikirannya dalam memahami Islam secara mantap; memahami kewajipan amal jariah; berpindah dari hanya seorang penceramah agama di kampung menjadi seorang pendakwah Islam yang bekerja untuk umat; mengubah daripada cita-cita tempatan dan terbatas pada cita-cita besar dan universal.

Keinginannya tidak lagi tergantung kepada keinginan peribadi tapi menjadi cita-cita yang berkait rapat dengan umat. Sekiranya cita-cita umat itu untuk membebaskan Palestin maka itulah cita-citanya. Muhammad al-Ghazali menyifatkan al-Qaradawi sebagai seorang yang menggabungkan antara feqah teori dengan realiti.

Menurut al-Nadwi, al-Qaradawi adalah ulama lulusan al-Azhar yang bergiat dalam bidang dakwah dengan menggabungkan aspek kefahaman Islam sebenar dengan realiti dunia semasa. Al-Qaradawi pertama kali datang ke Malaysia pada 1974. Dalam lawatan itu, beliau melawat pejabat Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan sejak itu, hubungannya begitu rapat dengan aktivis dakwah di Malaysia.

Pada 1985, al-Qaradawi menyampaikan ceramahnya di Yayasan Anda dan menekankan sikap kesederhanaan yang perlu diambil pendakwah. Antara sumbangan besar al-Qaradawi kepada masyarakat Islam di Malaysia ialah keprihatinannya kepada manhaj kesederhanaan dalam berdakwah.

Di samping itu, beliau sentiasa optimis terhadap sistem kewangan Islam dan pendapatnya mengenai kewangan Islam dijadikan rujukan pakar ekonomi di sini. Al-Qaradawi juga menyarankan agar feqah digunakan dalam khidmat dakwah kepada Islam. Beliau menyeru ulama supaya menguasai ilmu sehingga mencapai darjat yang membolehkan mereka membuat tarjih di antara pendapat ulama.

Al-Qaradawi mengingkari golongan yang ingin menghapuskan khilaf dan menghimpunkan orang ramai dalam satu pendapat iaitu dengan mengikut pendapat mereka semata-mata.

Percubaan kumpulan ini akan menambahkan lagi khilaf dan bukan mengurangkannya. Begitu juga beliau mengingkari golongan yang suka menyibuk dalam perkara khilaf yang remeh.

Oleh itu, kepentingan feqah dalam dakwah mesti diasaskan dengan kebijaksanaan, toleransi, perikemanusiaan dan keadaan masyarakat. Beliau menggariskan beberapa jenis kefahaman sebagai usaha untuk memahami konteks dakwah yang sebenar seperti kefahaman mengenai keutamaan (fiqh al-awlawiyyat); kefahaman pertimbangan (fiqh al-Muwazanat); kefahaman mengenai realiti (fiqh al-Waqi') dan kefahaman mengenai perubahan (fiqh al-Taghayyir).

Ketika mengeluarkan pendapat dan fatwa, al-Qaradawi memilih pendapat yang kuat alasannya dan mudah kepada orang ramai. Beliau menyatakan bahawa perselisihan pendapat harus dilihat dari segi positif dan ia tidak harus dilihat sebagai keretakan dan perpecahan kepada umat Islam yang sudah sekian lama hidup berpecah belah. -- BH

1 comment:

Fakeh said...

KAJIAN SEMASA MENGENAI PERKEMBANGAN WAHABBI DI MALAYSIA, sila google tajuk-tajuk seperti di bawah ini:-

(a) http://www.mediafire.com/?ne2dmyeinzo
(b) Jaringan Wahabbi Sdn Bhd
(c) Jom Kenali Dr Maza & Co
(d) Ahlul Bait Yang Dicerca
(e) Tok Ayah Zid Kedai Lalat
(f) Kuasa Tiang Kepada Cita-cita
(g) 40 Mutiara Hikmat Serambi Mekah