Wednesday, January 26, 2005

Sharifah Mazlina


BERJAYA... Sharifah Mazlina mengibar bendera Malaysia sebaik sampai di garis penamat Antartika

Sharifah Mazlina - Pesan ibu jadi penawa
Oleh NORMALA HAMZAH

KECEDERAAN di lutut hampir memusnahkan impian. Kesakitan dan masalah tiada angin turut menjejaskan perjalanan. Kala itu, apa yang mampu dilakukan hanyalah berdoa dan memohon kekuatan dari-
pada Allah.
Sambil menahan sakit, teringat pula untuk menelefon ibu mencurahkan segala kesakitan yang ditanggung. Si ibu, Sharifah Mariam Syed Mohamad, turut merasakan penderitaan yang ditanggung si anak. Seperti ibu lain, apa yang mampu dilakukan adalah memberi kata perangsang dan semangat.
``Jangan pulang dengan kegagalan. Jadilah anak bangsa yang baik dan tamatkan ekspedisi. Jangan putus asa,'' begitu pesan si ibu.
Sebaik meletakkan telefon, dia mengumpul semangat dan bertekad, perjuangan mesti diteruskan. Bersandarkan harapan, doa, kecekalan serta pesan ibu yang bagaikan penawar, Datin Paduka Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir, 39, akhirnya berjaya merealisasikan ekspedisinya itu sekali gus mencipta nama menjadi wanita Asia pertama berjaya merentasi Antartika secara solo menggunakan kaedah meluncur ski.
Kepulangannya disambut meriah, sebaik menjejak kaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas subuh 14 Januari lalu, tiada kata-kata yang mampu beliau lahirkan, kecuali rasa sebak yang teramat sangat.
Di sebalik senyum manis melayani
mereka yang hadir menyambut ketibaannya, Sharifah Mazlina menyembunyikan rasa sebak dan terharu dengan sambutan besar-besaran yang tidak pernah beliau harapkan.
``Saya merasa amat sebak dan terharu. Sambutan yang diberikan di luar dugaan. Ia cukup sentimental berbanding kali pertama saya kembali dahulu. Terima kasih di atas segalanya,'' katanya.
Dua tahun bersusah payah, menepis pelbagai gosip dan mengharungi ujian yang bukan calang-calang akhirnya hajat untuk menakluk Antartika menggunakan kaedah meluncur ski secara solo berjaya dicapai.
Tarikh 29 Disember 2004 menyaksikan wanita kental ini menamatkan ekspedisi solonya tepat pukul 10.45 malam waktu Malaysia, 10 hari lebih awal dari jadual.
Kejayaan tersebut turut mencatat rekod baru yang melayakkan beliau muncul sebagai wanita pertama Asia meluncur ski secara solo di Antartika dalam masa 22 hari bermula dari Kutub Selatan sehingga melepasi garisan penamat di Hercules Inlet.
Lebih manis, kejayaan tersebut telah diiktiraf oleh Ekspedisi dan Logistik Antartika (ALE), iaitu badan yang mengurus dan mengendalikan ekspedisi itu.
Pun begitu, bukan mudah baginya mencipta rekod tersebut. Selain keseorangan di tempat terasing, Sharifah Mazlina juga terpaksa menanggung kesakitan akibat empat kali terjatuh. Kecederaannya serius di bahagian lutut dan buku lali.
Berserah
Kecederaan itu juga menyebabkan perjalanannya terpaksa ditangguh beberapa hari. Beliau terpaksa berkhemah dan tinggal di dalamnya dengan hanya merangkak untuk melakukan aktiviti harian. Mujur pengalaman masa lalu banyak memberi pengajaran. Sharifah Mazlina bertindak mencari bahan-bahan keras untuk dijadikan anduh bagi menampung kesakitannya. Syukur usaha itu membantu dan beliau berjaya meneruskan perjalanan sambil terus berdoa supaya kesakitan itu akan reda.
``Sakitnya tidak terkira. Saya hanya berserah kepada Tuhan. Kekuatan dan semangat mengatasi segala. Sepanjang meluncur, saya tidak putus-putus memanjatkan doa agar misi saya tidak patah di tengah jalan,'' ceritanya.
Seperti anak-anak lain, Sharifah Mazlina turut teringatkan ibunya, Sharifah Mariam Syed Mohammad ketika dalam kepayahan. Begitu juga saudara mara dan kawan-kawan yang memberi perangsang dan galakan.
``Ibu menjadi tempat saya mengadu. Biarpun pada awalnya ingin berjimat tidak mahu guna banyak telefon satelit,
akhirnya saya terpaksa melanggar peraturan itu kerana inginkan seseorang untuk berbual. Pesan ibu adalah penawar. Ibu minta saya teruskan usaha, tabah dan jangan kembali dengan kegagalan. Suara dan pesan ibu mengembalikan kekuatan mental dan fizikal saya. Kepada ibu saya luahkan hajat minta beliau melakukan solat hajat supaya saya diberi kekuatan meneruskan ekspedisi saya ini,'' jelasnya.
Begitu juga dengan kawan-kawan seperti Pengurus Projek, Hazimah Zainuddin dan lain-lain.
``Saya minta mereka baca yasin untuk kesejahteraan saya disamping saya sendiri melakukannya di tengah-tengah bumi Antartika yang sejuk, sepi damai dan menyimpan sejuta rahsia ciptaan Allah Yang Maha Esa. Sambil meluncur, saya berselawat ke atas nabi... setiap hari, setiap saat. Syukur Allah mendengar permintaan saya,'' jelasnya.
Katanya lagi, dalam keadaan itu, beliau mengambil sikap positif dan meletakkan semangat juang sebagai asas utama beliau berada di Antartika.
``Saya teringatkan komitmen saya terhadap penaja serta mereka yang memberi bantuan dan sokongan sehingga saya berada di Antartika. Saya bertekad tidak akan pulang dengan kegagalan.'' tambahnya.
Kata-kata ibu yang mahu anaknya pulang sebagai anak bangsa yang berjasa turut memberi kekuatan tambahan kepadanya menamatkan ekspedisi.
Di sebalik kejayaan itu, Sharifah Mazlina turut mencatat rekod sebagai orang pertama menanam Kapsul Masa di Antartika.
``Usaha kreatif ini mendapat pujian pihak pengurus Antartika. Mereka positif dengan apa yang kita buat. Saya mengharapkan selepas ini ada rakyat Malaysia yang akan ke sana dan mengambil Kapsul Masa yang berisi amanat Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk dibaca kepada seluruh rakyat Malaysia pada tahun 2020,'' Sharifah Mazlina mengharap.
Kejayaan dan pengalaman yang beliau lalui, bakal dicurahkan kepada generasi muda Malaysia melalui pelbagai program rakan muda dan motivasi untuk remaja yang sedang dirangka.
Ilmu
``Saya mengharapkan dalam masa terdekat ini ilmu dan pengalaman yang saya peroleh ini boleh dikongsi dengan generasi muda untuk melakukan ekspedisi seperti ini pada masa depan. Saya berharap menjelang tahun 2020 ada generasi muda Malaysia akan kembali ke Antartika untuk mengambil Kapsul masa itu. Jika boleh biarlah mereka mencipta rekod baru dengan mencatat perjalanan yang kurang daripada apa yang telah saya lakukan,'' pintanya penuh harapan.
Ketika nama sedang menjulang, Sharifah Mazlina turut menerima khabar gembira kerana dipelawa oleh Liv Arnesan, wanita pertama merentasi Antartika pada 1994 untuk menyertai sepasukan wanita melakukan ekspedisi yang sama ke Antartika pada tahun 2011.
Ekspedisi yang dijadual menggabungkan wanita profesional dari seluruh dunia itu mengambil sempena sambutan memperingati manusia pertama sampai ke Antartika.
``Saya diajak sebagai mewakili wanita Asia. Mereka mahukan golongan profesional, saintis serta wanita yang mempunyai latar belakang akademik yang tinggi menyertai ekspedisi itu. Selain mengulangi sejarah, ekspedisi itu juga bakal melakukan kajian bagi mencari maklumat yang boleh dikongsi bersama oleh seluruh dunia,'' tambah Sharifah Mazlina.
Ditanya sama ada beliau masih punya kekuatan dan keinginan untuk melakukannya, sambil tersenyum Sharifah Mazlina berkata, segala-galanya kerja Tuhan.
``Saya tidak mahu merancang. Faktor umur, kesihatan mungkin menjadi penghalang. Tetapi saya akan berusaha memastikan, ada wanita Malaysia yang akan ikut ekspedisi itu. Walaupun saya masih ada hati untuk ikut sama tetapi seperti yang saya kata, segala-galanya di tangan Tuhan. Saya akan berusaha tetapi biarlah Allah yang tentukan.'' katanya.
Berada di tanah air setelah melaksanakan cabaran yang hebat untuk negara, Sharifah Mazlina tidak melupakan kesihatan dirinya. Walaupun keseluruhan
tubuhnya sihat tetapi lututnya masih terasa sakit.
``Saya telah menjalani rawatan dan pemeriksaan ke atas lutut dan buku lali saya. Dalam masa terdekat ini saya akan segera melakukan pemeriksaan akhir,'' tambahnya.
Semasa ekspedisi, Sharifah Mazlina kehilangan berat badan sebanyak 7 kilogram tetapi sekarang sudah kembali meningkat.
Mengenai pemakanan pula, kini beliau telah kembali menikmati segala jenis makanan kegemarannya seperti nasi lemak dan masak asam pedas.
Pengorbanan
``Apabila mendapat tahu saya rindukan nasi lemak dan asam pedas kawan-kawan dan saudara mara asyik menghidangkan saya masakan tersebut setiap hari.. dan puas makan,'' katanya sambil tersenyum.
Usaha telah berhasil, pengorbanan telah berbayar, yang tinggal kini adalah untuk mencurah ilmu kepada mereka yang memerlukan.
Bagi memenuhi impian itu kata Sharifah setiap orang yang bercita-cita dan punya impian harus memulakan langkah pertama.
``Jangan hanya merancang tetapi kemudian duduk diam. Takut nanti apa yang dirancang hanya tinggal angan-angan kosong. Jika telah merancang dan ingin mencapainya, elok teruskan usaha. Saya yakin setiap usaha akan mendatangkan hasil. Apa sahaja yang kita lakukan, jika berusaha dan diizinkan Allah, insya-Allah akan berjaya. Pokoknya usaha dan disiplin diri. Jangan putus asa , jangan jemu dan mesti ada sikap positif, pasti berhasil,'' ujarnya.



Wanita & Keluarga
Kepayahan jadikan Mazlina bersemangat kental
Oleh Nor Affizar Ibrahim

KEJAYAAN Datin Paduka Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir sebagai wanita Asia pertama merentasi Antartika secara solo pada malam 29 Disember lalu sudah pun diketahui ramai. Malah, sebahagian besar rakyat Malaysia turut berbangga dengan kejayaan yang dicatat oleh pensyarah Psikologi Sukan, Fakulti Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) berusia 39 tahun itu.

Kepayahan mengharungi ekspedisi sejauh 1,100 kilometer dengan kaedah ski di persekitaran yang mempunyai suhu jauh di bawah paras beku, sudah tentu bukan sesuatu yang mudah. Bagaimanapun, wanita yang berjiwa cekal dan bersemangat kental itu berjaya mengharungi semua cabaran serta sudah pun mendapat pengiktirafan Antarctic Logistics & Expedition (ALE) kerana kejayaannya merentasi Antartika dalam tempoh 22 hari, terpantas pernah dilakukan seorang wanita. Di sebalik kejayaan besar itu, tentunya Sharifah Mazlina memerlukan sokongan dan bantuan kerana untuk melakukan ekspedisi seumpama itu, segala-galanya memerlukan perancangan rapi serta teliti demi memastikan cita-cita menjadi realiti. Mungkin masih ramai yang tidak ketahui tetapi umumnya, Persatuan Wanita Bumiputera Dalam Perniagaan dan Profesyen Malaysia (Peniagawati) adalah antara tulang belakang terhadap kejayaan yang dicipta Sharifah Mazlina. Ini diakui sendiri oleh Sharifah Mazlina yang amat berterima kasih dan sekali-kali tidak akan melupakan segala bantuan di samping, kerjasama yang terjalin antara beliau dan persatuan itu, dari awal hingga berakhirnya ekspedisi berkenaan. “Saya terhutang budi dengan Peniagawati kerana ketika saya menghadapi pelbagai rintangan dan dua tahun membuat persiapan untuk meneruskan usaha saya merentasi Antartika, ada yang sudi membantu. Oleh itu, kejayaan yang saya lakarkan itu ditujukan kepada Peniagawati. Di samping, semua penaja serta individu dan pihak lain yang bertungkus lumus menjadikan ekspedisi itu satu realiti,” kata Sharifah Mazlina ketika ditemui di Hotel J W Marriot, Kuala Lumpur, baru-baru ini Beliau yang kini turut menjadi ahli aktif Peniagawati berkata, sebelum memulakan cabaran ekspedisi berkenaan ada beberapa pihak mencadangkan agar bekerjasama dengan satu badan bukan kerajaan yang stabil khususnya, bagi membantu hal berkaitan pengurusan kewangan dan melicinkan segala perancangan. “Pada mulanya, saya berhasrat ingin bekerjasama dengan persatuan yang khusus terbabit secara langsung berkaitan dengan kegiatan ekspedisi seumpama itu. Namun, apabila mempertimbangkan semula, saya mengambil keputusan bekerjasama dengan Peniagawati kerana yakin dan kagum dengan kemampuan pertubuhan itu yang sudah setapak lebih maju berbanding ahli persatuan wanita lain di negara ini,” katanya. Beliau berkata, kebetulan matlamat Peniagawati bertepatan dan seiring dengan hasratnya yang ingin mengharumkan nama Malaysia di persada dunia dan membuktikan wanita boleh mengharungi cabaran serta rintangan. Sementara, Presiden Peniagawati yang juga Pengarah Projek Ekspedisi Antartika Sharifah Mazlina, Hazimah Zainuddin, berkata pada mulanya memang ada kesangsian pada Peniagawati dan terdapat pandangan negatif segelintir pihak terhadap ekspedisi yang ingin dilakukan oleh Sharifah Mazlina. Namun, katanya Sharifah Mazlina datang berjumpa beliau di pejabatnya dengan penuh keyakinan bersama kertas kerja yang lengkap dan berjaya menarik perhatian Peniagawati untuk bekerjasama. “Apabila kerjasama antara Peniagawati dan Sharifah Mazlina terjalin bagi memenuhi misi ekspedisi ke Antartika, memang ada yang salah anggap mengenainya malahan, ada yang berkata ‘satu kerja gila’. Tetapi tindakan berani Sharifah Mazlina kini membawa makna besar kepada Peniagawati yang turut mengharumkan Malaysia dan bagi persatuan pula memberi impak positif untuk setiap ahli. Ini juga adalah permulaan untuk persatuan untuk membabitkan diri dengan kegiatan bertaraf antarabangsa,” katanya turut tidak menafikan ekspedisi berkenaan turut merapatkan hubungan beliau dan Sharifah Mazlina biarpun pada mulanya bukan satu `permulaan' baik. Beliau berkata, setiap wanita di negara ini terutama, ahli Peniagawati perlu mencontohi semangat juang yang ditunjukkan wirawati itu. Tiada kejayaan tanpa usaha dan ini membabitkan pelbagai kerjaya termasuk dalam bidang perniagaan. “Jika sudah menceburi bidang perniagaan tidak boleh berpatah balik, sekali pun ada rintangan atau risiko yang perlu dilalui. Oleh itu, semangat dan kegigihan yang ada pada Sharifah Mazlina, memang perlu ada pada semua ahli perniagaan wanita. “Saya juga suka dengan penampilan Sharifah Mazlina kerana sejak dari awal hingga kini, penampilannya sebagai wanita sentiasa dikekalkan walaupun aktiviti yang dilakukan agak lasak,” katanya.

7 comments:

Jeego said...

Hai, Di antara banyak blog yang saya lawati hari ini, blog anda antara yang hebat. Saya akan bookmark blog anda!

Saya ada tips kaya dengan mudah. Peluang dan tips kaya dengan mudah di sini.

Lawatilah bila ada masa lapang :-)

Jeego said...

Hai, Di antara banyak blog yang saya lawati hari ini, blog anda antara yang hebat. Saya akan bookmark blog anda!

Saya ada tips cara mudah jadi kaya. Peluang dan tips cara mudah jadi kaya di sini.

Lawatilah bila ada masa lapang :-)

Rockerz said...

Hai, saya suka membaca blog untuk menambah ilmu dan maklumat. Setiap hari sekurang-kurangnya saya lawat 20 blog. Blog anda adalah antara yang paling menarik untuk hari ni. Keep up the good work!

Terlanjur saya di sini, tahukah anda tips cara mudah jadi kaya. Sistem Menjana Wang Secara Automatik. RM200,000 dalam masa 35 hari dengan modal hanya RM10! Ini baru REAL!. Peluang dan tips cara mudah jadi kaya di sini.

swimming challenge said...

Dato' Sharifah Mazlina :

Ada tiga perkara yang saya ingin sebut di ruang ini tentang expidisi Kutup Utara oleh Dato'.

1. Dato' telah mengguna kedudukan yang Dato' ada untuk menipu rakyat Malaysia tentang expidisi ini. Dengan kedudukan Dato' dan hubungan dengan orang-orang berpengaruh di politik Malaysia Dato' telah mengutip banyak wang untuk kepentingan pribadi. Tindakan Dato' telah merosakkan reputasi expedisi lain oleh orang yang benar-benar patriotik untuk melakukannya demi negara. Akibatnya ramai orang telah memandang serong terhadap ekspedisi lain. Masyarakat telah menganggap ekspidisi lain mempunyai muslihat mencari duit sebanyak mungkin di samping kemashhuran yang palsu.

2. Dato' sebenarnya juga seorang penipu yang telah dengan licik menipu rakyat Malaysia tentang ekspidisi ini. Dato' berpura-pura
seperti Dato' telah berjaya sebaliknya tiada satupun scene yang Dato boleh tunjukkan untuk membuktikan bahawa Dato' telah berjaya menjejaki kutup utara. scene dalam video hanya menunjukkan perkara remeh temeh termasuk pakaian yang dipakai dan sedikit scene tentang kesusahan mengheret bag dan tidur dalam kemah... . Dato' sebenarnya telah menghabiskan wang rakyat untuk bercuti di Canada dan lain-lain tempat untuk ekspidisi ini. Bila sampai kononnya di kutub utara Dato' menjerit seperti DOREIMON ' eeh saya sudah sampai... " begitukah gelagat seorang yang telah berjuang untuk melakukan sesuatu yang luar biasa, malah itu semua hanya sandiwara Dato' untuk mengabui mata rakyat Malaysia yang bodoh yang boleh percaya dengan perkara yang bodoh seperti itu.

3. Dato Mazlina adalah seorang tenaga akademik yang paling bahlul di Malaysia apabila dalam misi menawan kutub utara Dato' menyatakan bahawa Dato' akan menanam al-Quran di kutub utara. Mana Dato' belajar perkara pelek ini. apa yang ada dalam kepala hotak dato sehingga boleh timbul perkara ini ? Bertaubatlah daripada perbuatan ini dan mohonlah ampun dari Allah. Juga disarankan juga agar Dato' memohon maaf kepada rakyat Malaysia yang Dato' bohong tentang ekspidisi menawan kutub utara ini bahawa ini hanya satu drama bersama team yang telah merancang untuk mengutip tajaan Kami mencabar Dato' supaya menunjukkan sepenuhnssi ekspidisi yang mencabar dan supaya sesi sesi ekspidisi yang dilalui dan bukannya tunjuk bag pakaian. Kalau Dato' tak boleh buat perkara ini jangan mendakwa kejayaan ini satu pencapaian sebaliknya ingatlah rakyat Malaysia bukan semuanya bodoh.

ahmadictl said...

Congratulations! you have made a great achievement. A great achievement for Malaysia and a big step of confidence for you.

miZz_nizZ said...

smlm sy dgr tak dr Dati Paduka mngenai ekspedisi kutub utara n slatan.sy kgum n datin Paduka. anda anggakn mlysia. sy rasa sy pun xsecekal datin.teruskan usaha anda!mlysia boleh!

amieyfarhan said...

apakah wawasan diri Datin sebelom mencapai kejayaan? ingin tahu dgn lebih lanjut. :)