Saturday, July 02, 2005

JINS SHAMSUDDIN

Sembang Sabtu: Jins tak sampai hati makan ayam
Oleh Hassan Omar

DALAM filem Si Tanggang, beliau memainkan watak seorang anak derhaka yang begitu kejam terhadap ibu kandungnya, tetapi di luar Senator Datuk Jins Shamsuddin sebenarnya memiliki sifat penyayang yang mungkin tidak kita jangka sama sekali.

Seniman yang sudah membintangi dan mengarah 46 filem itu terlalu sayang dan kasihan terhadap ternakan, terutama ayam, lembu dan kambing, sehingga tidak sanggup menjamah dagingnya.

Namun, beliau tidak pernah rasa rugi tidak dapat menikmati kelazatan daging itu kerana baginya, sifat kasihan melihat haiwan berkenaan disembelih, mengatasi keinginannya untuk menikmati kelazatannya.

“Saya suka sayur dan ikan. Daging dan ayam saya tak makan. Saya tak sampai hati nak makan ayam. Saya kasihan tengok ayam, lembu atau kambing kena sembelih.

“Ikan kita tak nampak. Orang tangkap dan bawa balik. Saya tak nampak ikan itu diseksa. Ayam kita kena sembelih. Begitu juga lembu dan kambing. Kalau dia masuk dalam nasi goreng, itu lainlah,” katanya.

Barangkali dengan tidak memakan ayam dan daginglah, Jins yang hampir menjangkau usia 70 tahun November ini, tidak pernah mengalami masalah perut boroi seperti yang lazim dialami lelaki sudah berkahwin.

Keanehan selera Jins seolah-olah terbawa-bawa sehingga kepada kegemarannya di waktu lapang. Beliau yang mula menjejakkan kaki dalam dunia perfileman sebagai pelakon tambahan dalam filem Anakku Sazali arahan dan lakonan Tan Sri P Ramlee pada 1956, gemar menghabiskan waktu senggangnya dengan mencantikkan 12 kereta antiknya.

Enam daripada kereta berkenaan disimpannya di kawasan Studio Panca Delimanya di Hulu Klang, manakala bakinya di rumah keduanya di Taiping.

“Saya suka kereta antik. Kalau ada waktu lapang, saya buka enjin, hidupkan enjin. Saya ada Mercedes Benz, Austin dan lain-lain.

“Saya juga suka kumpul bahan antik. Saya ada lebih 50 kamera. Kamera untuk penggambaran filem, saya ada lima. Saya juga kumpul beratus-ratus tanda nama seminar.

“Saya serahkan 400 barang antik saya kepada Arkib Negara untuk tatapan dan kajian generasi akan datang. Saya ada 600 lagi barang yang masih saya susun dan akan saya serahkan kepada Arkib Negara,” katanya.

Walaupun sudah agak berusia, Jins ternyata tidak mampu membiarkan waktunya dihabiskan dengan tidak melakukan kerja tidak bermanfaat, sama ada untuk diri sendiri, keluarga atau masyarakat seniman.

Menjelang Hari Kebangsaan 31 Ogos ini, Jins kini sedang sibuk mengarah dan berlakon dalam drama bersiri ‘Merdeka, Merdeka, Merdeka’ yang bakal ditayangkan di RTM tidak lama lagi. Bidang pengarahan dan lakonan yang sudah sebati dengan darah daging Jins itu menjadikan beliau sebagai antara seniman yang cukup sibuk.

“Keluar rumah jam 7.30 pagi. Kadang-kadang balik sampai lewat malam. Ada saja aktiviti saya. Saya juga mempunyai keluarga. Bincang dengan anak-anak. Seorang masih sekolah, seorang baru habis SPM dan seorang tunggu masuk universiti.

“Saya kena tahu ke mana dia pergi, jam berapa balik. Semua menjadi tanggungjawab saya. Itu tugas saya sebagai bapa. Saya juga kena jaga Studio Panca Delima. Sebagai Ahli Dewan Negara, saya sedang menyusun dan membuat soalan bertulis dan lisan serta tambahan apabila mula bersidang 18 Julai ini,” katanya.

Sesungguhnya, tiada hari tanpa hari bekerja bagi anak wayang ini, malah beliau berpendapat waktu yang masih terluang dalam perjalanan hidupnya harus diisi dengan melakukan kegiatan untuk kebaikan diri dan orang lain.

10 PERKARA MENARIK MENGENAI JINS SHAMSUDDIN
1. Penerima pertama anugerah Bintang Harapan 1, Award Gelanggang Filem (1959)
2. Pelakon pertama filem bercorak ejen perisikan yang diberi jolokan Singapore Own Bond
3. Anak Malaysia pertama menyaksikan pelancaan kapal angkasa Apollo 16 bersama Presiden Amerika Syarkat, Richard Nixon di Cape Kennedy mengikut rancangan Pertukaran Kebudayaan Amerika Syarikat
4. Karyawan filem pertama memenangi enam daripada 13 anugerah secara serentak pada Festival Filem Malaysia (1980)
5. Filem Bukit Kepong adalah filem pertama diadaptasi menjadi buku teks sekolah tingkatan 4 (2002)
6. Filem Menanti Hari Esok adalah filem tempatan pertama melakukan penggambaran di London (1978)
7. Bintang filem pertama dari Malaysia dilantik menjadi juri di Pesta Filem Antarabangsa, Honolulu, Hawaii (1983)
8. Bintang filem pertama Malaysia menerima Silver Crane Award ketika Pesta Filem Asia-Pasifik ke-32 di Taipei (1987)
9. Karyawan filem pertama menerima anugerah Ijazah (Kehormat) Sarjana Persuratan Universiti Sains Malaysia (1999)
10. Seniman pertama dilantik sebagai Ahli Dewan Negara (13 Oktober 2004).

Sembang Sabtu: Kebajikan seniman artis diperjuangkan

KEHEBATAN Senator Datuk Jins Shamsuddin bukan setakat melakonkan pelbagai watak dan beraksi di layar perak, tetapi turut terserlah dalam bidang politik dan usahanya memperjuangkan kebajikan seniman dan artis.

Bagi beliau, tiada salahnya seorang seniman turut berjuang dalam politik demi kemajuan agama, bangsa dan negara. Jins yang memilih untuk berjuang bersama Umno, sering dijemput memberikan ceramah politik, terutama di kawasan dianggap kubu pembangkang.

“Biasanya, kalau saya ceramah, orang parti pembangkang pun datang, khususnya orang Pas. Apabila saya pergi ke mana-mana, saya tak terus ke pentas. Saya akan jumpa mereka dulu. Saya tanya apa khabar.

“Apabila saya datang, orang tak anggap saya sebagai ahli politik atau Ahli Parlimen. Orang anggap saya seniman. Mereka berbual-bual dengan saya. Saya dapat masuk ke tempat yang orang Umno tak boleh masuk.

“Dalam satu pilihan raya kecil di Perlis, ada kampung orang letak kereta halang jalan. Apabila saya masuk, mereka ketepikan kereta. Saya kata nak jumpa kawan. Dia kata, eh datuk!

“Kalau berceramah, saya tak kutuk orang. Saya cakap mengenai dasar dan perjuangan bangsa, orang Melayu. Perjuangan Barisan Nasional. Kita nak tanamkan kekuatan jati diri bangsa. Kita harus berjuang,” katanya.

Perjuangan Jins turut membabitkan usahanya memperjuangkan nasib insan dan penggiat seni. Baru-baru ini, beliau terbabit dalam usaha menyediakan perumahan untuk artis dan penggiat seni dengan kerjasama syarikat hartanah, MK Land Holdings Bhd (MK Land).

“Saya ajak kawan-kawan sokong untuk masa depan seniman. Kalau tak boleh bayar, dia boleh letakkan nama anaknya. Kalau nak duduk, dia beli yang murah. Saya juga cadangkan supaya buka perkampungan seni di Cyberjaya,” katanya.

Selain itu, Jins yang terhutang budi kepada Allahyarham Tan Sri P Ramlee, bagaikan tidak mahu melepaskan peluang untuk menyebut nama Seniman Agung itu. Baginya, kekecewaan P Ramlee tidak sempat menghasilkan filem warna adalah kekecewaannya juga.

Ketika P Ramlee berpindah ke Kuala Lumpur, Seniman Agung itu dan Jins mencuba mendapatkan kepercayaan institusi kewangan untuk membiayai penghasilan filem berkenaan tetapi tiada satu pun syarikat kewangan yang memberikan kepercayaan.

“Saya rasa terkilan kerana arwah mencuba sedaya upaya. Arwah hendak buat filem warna tetapi tak dapat. Kecuali ada sedikit percubaan atau sebahagian dalam filem Semerah Padi. Saya kesal kerana arwah orang bertanggungjawab membawa saya ke dunia filem,” katanya.

Perjuangannya sebagai anak seni bermula 50 tahun lalu apabila diambil sebagai pelakon tambahan oleh P Ramlee dalam filem Anakku Sazali pada 1956. Beliau kemudian melakar namanya menerusi filem Panca Delima.

Bagaimanapun, tidak ramai yang tahu bahawa Jins sudah mencipta nama sebagai anak seni pertama dalam pelbagai perkara antaranya beliau adalah anak Malaysia pertama menuntut ilmu perfileman di luar negara.

Selain itu, beliau juga anak wayang pertama mendapat Anugerah P Ramlee pada Festival Filem Malaysia (FFM); karyawan filem Malaysia pertama mempunyai studio sendiri, penerima pertama dari Malaysia untuk Anugerah Silver Crane Award dalam Festival Filem Asia Pasifik (FFAP) Ke-32 di Taiwan dan anak Malaysia pertama menjadi Ketua Juri untuk FFAP 2000.

Jins juga bintang filem Malaysia pertama dilantik menjadi juri di Festival Filem Antarabangsa Honolulu, Hawaii pada 1983; anak Malaysia tunggal yang menyaksikan sendiri pelancaran kapal angkasa Apollo 16 di Cape Kennedy bersama bekas Presiden Amerika Syarikat, Richard Nixon dan seniman Malaysia pertama menjalani kursus penerbitan televisyen di BBC London pada 1971.

Paling menarik, Jins juga adalah anak seni pertama dilantik sebagai Senator pada Oktober tahun lalu bagi membawa suara insan seni di Dewan Negara.

“Kebiasaannya, pada umur saya ini, sepatutnya saya sudah berada di rumah tetapi saya belum mampu untuk berehat. Jika saya dapat membuat kerja, saya rasa bahagia dan seronok. Kepuasan. Kalau tak ada kerja, saya bingung,” katanya.

Sesungguhnya, hari-hari yang dilalui Jins penuh dengan perjuangan untuk memartabatkan nasib seniman dan penggiat seni, bukan sekadar meningkatkan kualiti filem Melayu, malah menyediakan hari yang lebih cerah untuk masa depan mereka.

No comments: